Isnin, 10 Disember 2018

Pemimpin Umno nafi komplot singkir Zahid

MALAYSIAKINI

   

Beberapa pimpinan Umno termasuk anggota parlimen Rembau Khairy Jamaluddin menafikan mereka terlibat dalam usaha menyingkirkan presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tak tahu apa-apa, kalau ada sebarang usaha tidak melibatkan saya, Saya tak terlibat dalam apa-apa pun," kata Khairy yang sebelum ini mencabar Zahid dalam pemilihan parti itu.

Beliau mengulas laporan New Straits Times (NST) yang memetik sumber mendakwa seramai 48 anggota parlimen Umno berpakat untuk menyingkirkan Zahid sebagai presiden parti.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Nazri Aziz menegaskan beliau menyokong Zahid meskipun tidak hadir pada perhimpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diksriminasi Kaum (Icerd) minggu lalu.

"Saya telah dilantik sebagai Setiausaha Agung BN, semua ini adalah khabar angin dan spekulasi kerana saya bersama dengan Zahid.

"Saya tidak menghadiri perhimpunan anti-Icerd kerana saya gembira dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan kerajaan menarik diri daripada meratifikasi Icerd," katanya.

Akui ada MP tidak puas hati

Nazri, bagaimanapun mengakui terdapat rasa tidak puas hati di kalangan anggota parlimen Umno terhadap kepimpinan Zahid.

"Tak puas hati? Mestilah ada berlegar. Tetapi saya tidak tahu sama ada mereka (suara) majoriti.
"Saya pernah dengar tentang perkara ini, anda tidak perlu mendengarnya. Kamu lihat ada yang keluar seperti Mustapa (Mohamed) dan Anifah (Aman)," katanya.

Nazri bagaimanapun menegaskan beliau tidak pernah mendengar khabar angin sedemikian.
Selain itu beliau mempersoalkan bagaimana komplot itu akan berjaya sekiranya Zahid enggan berundur.

Katanya, selepas pilihan raya umum lalu bekas perdana menteri Najib Razak telah bersetuju meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

"Bagaimana mereka akan memecatnya (Zahid) sebagai presiden Umno? Adakah mereka akan membuangnya sebagai ketua pembangkang?"

"Satu-satunya cara yang sah untuk memiliki presiden baru adalah melalui pemilihan parti, yang dijangka tiga tahun lagi atau melalui perhimpunan agung luar biasa (EGM) di peringkat bahagian," katanya ketika dihubungi.

Berjaya satukan Melayu, Islam
Sementara itu anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan memberitahu Malaysiakini bahawa kesemua anggota parlimen Umno setia kepada Zahid.

"Kami melihatnya sebagai pemimpin pembangkang dan presiden Umno yang berjaya membawa perubahan (kepada Umno) walaupun dalam jangka masa yang singkat. Perubahan yang paling ketara yang dia bawa adalah menyatukan orang Melayu dan Islam," katanya.

Katanya tiada sebab bagi pemimpin seperti Nazri, Khairy atau veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah untuk menyingkirkan Zahid.

"Ku Li dilantik sebagai penasihat parti, dia tidak mempunyai sebab untuk berbuat demikian. Khairy?

Beliau tidak melakukan apa-apa untuk mengesahkan 30 Ahli Parlimen (mahu menyingkirkan Zahid).

"Tidak juga Nazri, dia baru dilantik sebagai setiausaha agung BN, kenapa dia mahu melakukan sesuatu seperti itu?" soalnya.


Tiada ulasan: