Ahad, 9 Disember 2018

DAP kekal tanding Cameron, PKR di Rantau

Nizam Zain

Tun Dr Mahathir Mohamad
Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat BERSATU, Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI,
 

PETALING JAYA – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini sebulat suara untuk menyerahkan soal parti yang bertanding dalam dua Pilihan Raya Kecil akan datang kepada parti penyandang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti penyandang juga berhak menentukan mana-mana calon yang layak bertanding selepas dipertimbangkan secara bersama.

“Kita bersetuju yang akan mencalonkan ialah parti yang dahulunya mencalonkan calon di situ. Parti tetap parti yang lama.

“Tetapi orangnya kita tak tentukan lagi, kita serah kepada parti berkenaan supaya mereka tentukan siapa calon mereka dan akan dipertimbangkan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dimenangi tanpa bertanding oleh calon daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.

Insiden itu berlaku selepas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. S. Streram tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon selepas ketiadaan pas daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Bagaimanapun, pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad selaku Timbalan Presien UMNO itu pada PRU14 terbatal dan tidak sah, susulan Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu.

Sementara itu, kerusi Parlimen Cameron Highlands pula dimenangi calon BN, Datuk C Sivarraajh dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan empat calon lain pada PRU14.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan bahawa keputusan PRU14 di kerusi itu terbatal dan tidak sah, selepas mendapati terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.

Dr Mahathir berkata lagi, dua PRK masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Pahang itu akan menggunakan logo PH.

“Mereka akan guna logo Pakatan, tak lagi logo Keadilan, jadi jangan kata kita tak adil pula, kita lebih adil sekarang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: