Khamis, 13 Disember 2018

Muncul kelibat asing semasa Ezzaty bergambar waktu senja

MALAYSIAKINI

   
Pelakon Ezzaty Abdullah tidak menyangka ada kelibat lain 'berminat' untuk menumpang semasa dia merakam imej berdua dengan anaknya, Harum Dahlia.

Pengalaman mistik dilalui itu membuatkan Ezzaty sedar ada kebaikan di sebalik pantang larang pada waktu Maghrib seperti yang sering dipesan oleh orang tua-tua.

“Semasa menunggu suami untuk keluar, saya merakamkan foto bersama Harum untuk dimuat naik di Insta Story. Ketika itu, sudah senja.

“Saya mengaku silap apabila merakamkan foto pada waktu Maghrib.

“Ini kerana orang tua-tua banyak berpesan mengenai pantang melakukan perkara-perkara tertentu ketika senja,” katanya dipetik BH Online.

Ezzaty, 28, kejadian berlaku ketika dia dan anaknya menunggu suami, Azwan Kombos sedang bersiap.

Menurut pelakon drama KL Gangster: Underworld itu, imej berkenaan dirakam dan kemudian dimuat naik pada Insta Story baru-baru ini.

Namun, Ezzaty langsung tidak menyedari terdapat perkara pelik hinggalah dia dimaklumkan oleh pengikut-pengikutnya yang telah melihat imej berkenaan di Instagram.

“Ketika foto dimuat naik, saya tidak sedar apa-apa yang pelik daripada rakaman gambar itu.

“Namun, tidak lama kemudian, saya terima mesej daripada pengikut memberitahu mereka terlihat beberapa kelibat dalam foto yang dimuat naik.

“Saya terus melihat perkongsian itu dan jadi takut melihatnya,” katanya.

 Ezzaty berkata, berikutan insiden itu, dia takut berada di rumah terutama apabila suami tiada.
“Selepas kejadian itu, saya takut untuk duduk dalam rumah sendiri hingga rutin terjejas dibuatnya dek risau,” katanya.

Sementara itu, Azwan berkata, susulan kejadian pelik yang berlaku di kediamannya, dia menjemput beberapa orang ustaz bagi memeriksa persekitaran.

“Ustaz beritahu kelibat itu sekadar ‘singgah’ dan tidak mengacau kami sekeluarga. Namun, seorang lagi ustaz berpendapat lembaga itu tinggal di rumah yang kami diami.

“Kami berharap kelibat itu tidak mengganggu kami sekeluarga dan kebetulan sengaja ‘singgah’ ketika Ezzaty bergambar.

“Bukan apa, kami tidak mahu kehadiran kelibat itu memberi kesan buruk kerana Harum masih kecil,” katanya yang meraikan ulang tahun Harum genap setahun bersama isterinya malam tadi.


Tiada ulasan: