Sabtu, 22 Disember 2018

KKM kesan 21 sampel cili mengandungi residu racun perosak

MALAYSIAKINI

   

Pemantauan Kementerian Kesihatan (KKM) sejak bulan Januari sehingga kini mendapati sebanyak 21 sampel cili import termasuk dari Vietnam dikesan mengandungi residu racun perosak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata analisis itu dilakukan terhadap 503 sampel cili import namun Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan mendapati sebanyak 4.2 peratus (21 sampel cili) berkenaan melanggar Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Makanan 1985.

Sehubungan itu, KKM akan terus melakukan pemantauan ke atas sayur-sayuran termasuk cili di setiap pintu masuk negara serta di pasaran tempatan bagi memastikan pematuhan tersebut.

“Semua makanan yang diimport ke negara ini perlu mematuhi Akta Makanan dan peraturan-peraturan di bawahnya. Itu menjadi tanggungjawab pihak pengimport, agen serta penjual bagi memastikan produk makanan itu mematuhi perundangan makanan.

“Kegagalan mematuhi peraturan tersebut adalah satu kesalahan dan jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang menyatakan cili merah import dari Vietnam masih terdapat di pasaran tempatan walaupun kerajaan telah menggantung permit import hasil pertanian itu sejak 14 September lalu.

Tiada ulasan: