KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) konsisten
dengan pendirian Pakatan Harapan (PH) untuk memansuhkan beberapa akta
zalim meskipun kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim
membuktikan undang-undang drakonian itu diperlukan untuk menjamin
keharmonian negara.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abdul Samad berkata,
biarpun beliau mengakui bahawa undang-undang zalim itu boleh digunakan
dalam keadaan tertentu, namun pelaksanaannya perlu bebas daripada elemen
penderaan.
“Sekarang ini pun bila kita nak guna, mesti dengan nilai-nilai yang selari dengan konsep kemanusiaan dan hak asasi manusia.
“Kita boleh tahan tapi layan dengan baik, janganlah
sepak terajang sampai mati dalam tahanan dan sebagainya. Berapa banyak
kes mati dalam tahanan, perkara ini perlu diperbaiki.
“Memang kita nak perbaiki undang-undang sedia ada supaya
ianya lebih adil dan selaras dengan piawaian antarabangsa,” katanya
pada sidang media di ibu pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di
sini, hari ini.
Beliau mengulas kematian Muhammad Adib yang dibelasah
sekumpulan perusuh di sekitar Kuil Sri Maha Mariamman, USJ25, Subang
Jaya pada awal pagi 28 November lalu.
Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada pukul 9.41
malam semalam di Institut Jantung Negara (IJN) selepas bertarung nyawa
sejak tiga minggu lalu.
Khalid selaku Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pada masa
ini PH belum ada undang-undang baharu bagi menggantikan akta zalim
berkenaan.
“Pada masa ini undang-undang nak gantikan akta zalim belum ada lagi, belum siap.
“Kita guna akta sedia ada tapi cara kita gunakannya mesti dikawal, walaupun boleh seksa.
“Tapi kita beritahu polis jangan dera, walaupun boleh
ambil pengakuan bawah paksaaan, kita kata jangan terima pengakuan di
bawah paksaan walaupun akta itu membenarkan,” katanya lagi. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan