Sabtu, 1 Disember 2018

Kementerian Pengangkutan sasar 200,000 kad My100, My50 dilanggan

Mohammad Arif Nizam

Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bercakap pada Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 di KL Sentral, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mensasarkan pemilikan pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 sebanyak 200,000 orang bagi mengurangkan beban subsidi inisiatif itu.

Menterinya, Anthony Loke berkata, ini kerana kerajaan menperuntukkan kira-kira RM240 juta setahun untuk memperkenalkan pas perjalanan tersebut.

Jelasnya, jika jumlah pengguna melebihi sasaran itu, kerajaan dapat mengunakan pengurangan subsidi itu untuk disalurkan kepada inisiatif lain dalam sistem pengangkutan awam.

“Bagi setiap 10,000 pas RapidRail dan RapidBus, kerajaan perlu menanggung RM1 juta manakala untuk pas perjalanan RapidBus sahaja yang bernilai RM50 sebulan, kerajaan perlu menampung subsidi RM500,000.

“Sekiranya pelanggan pas perjalanan RapidRail dan RapidBus melebihi 120,000 pengguna, kerajaan dapat mengurangkan beban subsidi dan kami menyasarkan sekurang-kurangnya 200,000 pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 di KL Sentral di sini hari.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas lanjut, Anthony berkata, inisiatif oleh kerajaan dalam sistem pengangkutan awam akan ditumpukan di Lembah Klang kerana telah memiliki kemudahan sebelum ini.

Namun katanya, perancangan pada masa akan datang akan melibatkan bandaraya besar seperti Kota Kinabalu, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

“Namun kita akan lihat keberkesanannya di Lembah Klang dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: