Khamis, 6 Disember 2018

Himpunan 8 Disember: Amarah rakyat kepada pemimpin

siti hafidah

Amaran kepada pemimpin mahu jual kedaulatan negara: Gamis


BANGI – Himpunan Aman Bantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) Sabtu ini, bakal menzahirkan kemuncak amarah rakyat kepada sesetengah pemimpin yang berhasrat menjual kedaulatan negara.

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, himpunan ini bakal memberikan pengajaran kepada mereka yang belum serik dengan amaran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam protes bersiri sebelum ini.

Malah, katanya, himpunan ini juga bakal menjadi bukti bahawa rakyat menolak sepenuhnya sebarang usaha kerajaan untuk meratifikasi ICERD.

Faizzuddin berkata, ICERD adalah sebuah bentuk penjajahan antarabangsa atau Malayan Union 2.0 yang bakal meletakkan negara dalam keadaan bahaya, hilang identiti, serta menafikan kontrak sosial yang sudah lama menjadi pasak kepada keharmonian antara kaum sejak merdeka.

Memetik Artikel 2 (C) ICERD, beliau berkata, mana-mana negara ahli yang menandatangani perjanjian antarabangsa itu mestilah melakukan perubahan kepada mana-mana undang dan polisi negara yang bertentangan dengan objektif ICERD.

“Ini adalah satu peruntukan yang bakal menjejaskan kedudukan agama Islam dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, keistimewaan Bumiputera dalam Perkara 153 dan kedudukan serta peranan Raja-Raja Melayu dalam negara kita seperti yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Peruntukan ini juga bakal merosakkan kontrak sosial yang telah lama menjadi tunjang kepada perpaduan kaum dalam negara kita.

“Walaupun reservasi dibenarkan, namun menurut Artikel 20 (2) ICERD, mana-mana reservasi yang bertentangan dengan objektif ICERD tidak sama sekali akan diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Faizzuddin berkata, peruntukan ini bakal meletakkan Malaysia sebagai negara yang hilang identitinya dan menafikan hak Bumiputera sebagai orang asal dalam negara ini.

Justeru, pihaknya menentang sekeras-kerasnya usaha sebahagian pemimpin kerajaan yang ingin meratifikasi ICERD dalam negara ini.

“Usaha untuk meratifikasi ICERD dalam negara adalah satu tindakan yang membelakangkan Perlembagaan Negara dan Rukun Negara yang telah lama menjadi tunjang kepada perpaduan dan keharmonian antara kaum dalam Malaysia,” katanya.

Difahamkan, Gamis bersama 10,000 mahasiswa seluruh negara akan menyertai himpunan yang dianjurkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Dataran Merdeka pada 8 Disember ini.


Tiada ulasan: