Jumaat, 21 Disember 2018

Haniza: Isu lompat parti untuk burukkan imej Azmin

MALAYSIAKINI

   

Ketua Wanita PKR, Haniza Talha menafikan khabar angin bahawa timbalan presiden parti PKR, Azmin Ali bersama 20 anggota parlimen akan menyertai Parti Bersatu.

Menyifatkan isu itu tidak masuk akal, Haniza berkata ia juga bertujuan untuk memburukkan imej Azmin yang kini bergandingan dengan Anwar Ibrahim selaku presiden parti.

"Isu melompat keluar parti tidak mempunyai asas dan hanyalah satu tuduhan jahat yang bermatlamat untuk memecah belahkan semangat kekeluargaan dalam Keadilan.

"Selain itu, ia turut mempunyai motif jelik bertujuan untuk memburukkan imej Datuk Seri Timbalan Presiden Keadilan," katanya dalam satu kenyataan.

Haniza berkata kewibawaan dan kesetiaan Azmin kepada perjuangan PKR telah terbukti sejak 1998.

"Oleh itu, saya menyeru dan menggesa semua anggota PKR merapatkan saf dan meneruskan gerak kerja serta menolak politik fitnah adu domba seperti ini.

"Sebagai parti terbesar di dalam Pakatan Harapan, Keadilan akan terus mara mengisi kemenangan," katanya.

Semalam, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin turut menolak dakwaan bahawa beliau akan meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu bersama-sama anggota parlimen PKR termasuk Azmin.


Tiada ulasan: