Rabu, 5 Disember 2018

Hadi nafi wujud konflik antara beliau dan MB Terengganu

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA TERENGGANU: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menafikan berlakunya krisis dalaman parti antara beliau dan Menteri Besar Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar hingga wujudnya dua kumpulan dalam PAS Terengganu seperti yang tular di laman sosial.

Beliau menyifatkan ia sebagai satu tuduhan tidak berasas yang dilakukan oleh pihak tertentu yang ingin mengeruhkan hubungan baik antara beliau bersama bekas setiausaha politiknya itu.

“Apa yang dikatakan di media sosial itu semua tidak benar… hubungan PAS dan kerajaan negeri juga sangat baik.

“Saya yang lantik dia (Ahmad Samsuri) bertanding di kawasan saya (Ru Rendang) pula takkan mudah-mudah nak suruh dia berhenti gitu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Memperingati Itqan Al-Muluk Bita’dil As-Suluk (Undang-undang Tubuh Kerajaan Terengganu) di Taman Tamadun Islam di sini, semalam.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahri Mamat bagi mewakili Ahmad Samsuri.

Abdul Hadi diminta mengulas mengenai isu itu yang antara lain mempersoalkan kepimpinan Ahmad Samsuri khususnya mengenai wang royalti petroleum dan gesaan mahu beliau digantikan dengan anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk jika berlakunya pertukaran jawatan itu kelak.

Sementara itu, Satiful Bahri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu tidak menolak kemungkinan ada pihak yang cuba mengalih perhatian daripada membincangkan isu penolakan ICERD yang diperjuangkan oleh parti pembangkang iaitu PAS dan UMNO.

“Malah hubungan kami sangat baik…antara exco dan Menteri Besar…kita saling bekerjasama untuk memajukan Terengganu…banyak perkara dan tanggungjawab negeri yang kami kena fikirkan dan galas..sampai tidak terfikir pun isu ini (ganti Menteri Besar),” kata ADUN Paka itu.– Bernama

Tiada ulasan: