Khamis, 13 Disember 2018

Bung Moktar dilantik ketuai Umno Sabah


KUALA LUMPUR: Umno melantik Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai parti itu di Sabah, selepas penyandangnya, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor keluar parti untuk menjadi ahli politik bebas hari ini.

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa ketika mengumumkan rombakan Umno Sabah berkata, Datuk Yakub Khan yang mengetuai Umno Bahagian Sepanggar, dilantik sebagai timbalan Bung Moktar.

Ketua Umno Bahagian Kinabatangan, Jefri Ariffin dilantik sebagai setiausaha Umno Sabah, manakala Ketua Umno Bahagian Tenom, Datuk Raime Unggi sebagai ketua penerangan negeri itu.

“Mereka bersama Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memperkemaskan susunan ahli perhubungan itu esok.

“Esok pimpinan Umno Sabah dilengkapkan,” katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Sementara itu, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan 36 pemimpin keluar parti beramai-ramai sudah dijangkakan dan Umno Sabah tidak akan dibubarkan disebabkan tindakan kumpulan itu.

“Ini sama sekali tidak akan menjejas dan melemahkan perjuangan Umno yang telah banyak menabur jasa kepada anak negeri itu.

“Kemasukan Umno ke Sabah pada 1991 telah mengubah kedudukan sosio ekonomi negeri itu dan sudah tentu parti Rumpun Melayu akan meneruskan pembelaan berkenaan.

“Untuk itu, tindakan segera akan dilakukan bagi menyusun dan merombak Umno Sabah. Umno juga bersedia dengan pelan penggantian di peringkat bahagian sebagaimana terkandung dalam Fasal 15.7 dan Fasal 15.8 Perlembagaan Umno.”

Hajiji bersama 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian di negeri itu meninggalkan parti itu hari ini.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan sebulat suara itu diambil kerana kepimpinan Umno Pusat tidak bersatu, tidak mempunyai hala tuju politik yang jelas dan sering bercanggah pendapat.

Katanya, kumpulan itu kini menyokong kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Sabah yang diterajui Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal.

Pengerusi PAC


Zahid yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, Umno akan mencari calon lain bagi menggantikan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee yang meninggalkan parti itu, sebagai pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Notis akan dibuat oleh pengerusi BN kepada speaker (Dewan Rakyat) mengenai kedudukan pengerusi PAC dan kami akan cadangkan nama lain.”

Ditanya jika Kiandee tidak melepaskan jawatan itu, katanya: “Kami merujuk kepada apa yang dijanjikan oleh kerajaan sekarang.”

Terdahulu, Kiandee dilaporkan berkata, beliau belum boleh melepaskan jawatan pengerusi PAC, walaupun sudah meninggalkan Umno.

Katanya, terpulang kepada perdana menteri untuk menentukannya kerana tidak adil beliau melepaskan jawatannya ketika Parlimen tidak bersidang disebabkan jawatankuasa itu tidak boleh bermesyuarat.

PRK Cameron Highlands

Zahid berkata, BN akan menurunkan calon MIC pada pilihan raya kecil (PRK) Cameron Highlands kerana ia adalah kerusi tradisi parti itu.

Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh menewaskan 4 calon lain dalam pilihan raya umum 9 Mei lalu dengan majoriti 567 undi di kerusi Cameron Highlands.

Bagaimanapun, Sivarraajh hari ini memberitahu FMT beliau tidak akan memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangannya.

Beliau yang tidak bersetuju dengan penghakiman itu berkata, mahkamah akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk mengadakan PRK.

“Saya lebih suka BN berjuang demi rakyat dalam pilihan raya kecil daripada mengambil tindakan undang-undang,” katanya sambil menambah keputusan mahkamah itu tidak adil kerana mengaitkannya dengan amalan rasuah.



Tiada ulasan: