Bekas ketua polis daerah Padang Besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seksyen, di Kangar, terhadap empat pertuduhan seks oral dan mencabul dua kakitangan bawahannya termasuk seorang inspektor percubaan tahun lepas.
Tertuduh, Superintendan Ghazani Ab Ghani, 49, membuat pengakuan itu dalam pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan hakim Datuk Ibrahim Osman, lapor Sinar Harian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Ghazani didakwa melakukan seks oral kepada pegawai polis berpangkat inspektor tanpa kerelaan wanita itu antara pukul 12.10 tengah malam hingga 1 pagi pada 31 Oktober 2017 dalam kenderaan jenis Ford berhampiran Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Arau.
Ghazani juga berhadapan pertuduhan menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan mangsa yang ketika itu bertugas di ibu pejabat polis daerah (IPD) Padang Besar di masa, tarikh dan lokasi sama.
Ghazani turut dituduh melakukan seks oral dan mencabul kehormatan seorang lagi mangsa 36 tahun yang merupakan kakitangan pengurusan IPD itu dalam kereta Perodua Axia berhampiran MRSM sama antara pukul 10 malam hingga 11.30 malam, 3 Julai 2017.
Ghazani berdepan empat pertuduhan, iaitu mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan terhadap kesemua pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Razali Che Ani dan Mohd Nordin Ismail. Tertuduh diwakili M Puveneswaran dan K Kumaran.
Hakim menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 untuk keempat-empat pertuduhan, selain tertuduh diarahkan tidak mendekati dan mengganggu mangsa.
Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 29 Januari 2019.
Terdahulu, tertuduh dilapor dipercayai cuba mengaburi media dengan menggunakan seorang individu yang memakai topeng penutup muka dan berkaca mata keluar bersama peguamnya melalui pintu hadapan, sementara dia keluar mengikut pintu belakang setelah membayar wang jaminan.
Bagaimanapun, kelibat Ghazani sempat dirakam ketika dia dilihat memasuki kereta yang dipadamkan nombor pendaftarannya.
Akhbar itu difahamkan, Ghazani yang berasal dari Alor Setar, Kedah kini bertugas di bahagian pentadbiran ibu pejabat polis kontinjen (IPK) Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan