Anggota polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal dari Balai Polis Travers, maut manakala rakan setugasnya cedera selepas dipercayai dilanggar sebuah kereta yang terbabas di Jalan Semantan (Jalan Damansara menghala ke Kuala Lumpur), di sini, awal hari ini.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya berkata dalam kejadian pada kira-kira 3.50 pagi itu, kedua-dua mereka ketika itu sedang bertugas memeriksa sebuah kenderaan di tepi jalan berkenaan.
Beliau berkata sedang mereka bertugas, tiba-tiba datang sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki tempatan berumur 44 tahun telah turun dari cerun bukit melanggar kedua-dua mereka.
“Akibat pelanggaran itu, seorang daripada mereka yang meninggal dunia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat manakala rakan setugasnya yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk rawatan,” katanya.
Bagaimanapun, seorang anggota polis yang turut sama berada di lokasi kejadian terselamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan, katanya ketika dihubungi.
Zulkefly berkata pemandu kereta terbabit telah ditahan dan dibawa ke pejabat JSPT untuk pemeriksaan alkohol.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan