Sabtu, 1 Disember 2018

Akaun FB ‘Cikgu Ros Bagan Serai’ berbaur perkauman adalah palsu – Polis

THE MALAYSIAN TIMES
 



BAGAN SERAI: Akaun Facebook atas nama ‘Cikgu Ros Bagan Serai’ yang memuat naik status berunsur perkauman dan tular sejak Rabu lalu, adalah palsu dan sengaja diwujudkan pihak tertentu bagi tujuan yang tidak pasti, kata Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob.

Akaun Facebook berkenaan telah memuat naik gambar seorang guru wanita dan gambar Sekolah Menengah Kebangsaan Bagan Serai (SMKBS) berserta status berbaur perkauman.

Omar Bakhtiar berkata akaun tersebut adalah palsu yang gambar guru wanita itu bukan guru dari SMKBS, sebaliknya beliau dari Sekolah Kebangsaan Matang Gerdu, Bagan Serai manakala nama sebenarnya juga tidak sama dengan nama yang ditularkan.

Beliau berkata polis tidak menolak kemungkinan penularan akaun Facebook palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab itu bertujuan untuk melaga-lagakan kaum.

“Sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih menunggu hasil siasatan lanjut pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia mengenai kes tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Hasutan 1948, jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama dan bagi kesalahan berikutnya boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun.

Susulan penularan itu, pihak sekolah SMKBS dan mangsa iaitu guru terbabit telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, semalam.

Tiada ulasan: