Jumaat, 14 Disember 2018

Ahli Parlimen Tanah Merah keluar Umno

Ikmal Hisham Abdul Aziz memutuskan keluar Umno dan meletakkan
 jawatan sebagai ketua umno bahagian. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz memutuskan keluar Umno dan meletakkan jawatan sebagai ketua umno bahagian, selepas keputusan mengejut beberapa pimpinan Umno Sabah yang turut bertindak serupa.

Sinar Harian melaporkan, pengumuman itu dibuat di depan hampir 800 penyokong dan pimpinan Umno Tanah Merah dalam pertemuan ringkas di dewan Umno Gual Ipoh.

“Keputusan ini amat sukar, namun ia harus dilakukan demi untuk menyelamatkan bangsa Melayu dan Islam.

“Walaupun selepas ini saya akan dikecam namun saya sedia menerima semua ini demi kepentingan penduduk Tanah Merah,” katanya memetik laporan tersebut.

26 Oktober lalu, Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan penyertaan ke dalam PPBM, selepas lebih sebulan meninggalkan Umno.

Manakala Rabu lalu, Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor bersama sekumpulan wakil rakyat dan ketua bahagian meninggalkan parti itu untuk menjadi ahli politik bebas.

Mereka yang keluar parti itu terdiri daripada 9 Adun, 4 ahli Parlimen, 2 senator dan 21 ketua bahagian Umno Sabah.

Selain Hajiji yang merupakan Adun Sulaman, Adun lain ialah Datuk Musbah Jamli (Tempasuk), Datuk Japlin Akin (Usukan), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar (Kawang), Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (Membakut), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Matbali Musah (Lumadan), Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan) dan Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas).

Tiada ulasan: