Selasa, 11 Disember 2018

Abdul Azeez dakwa Mujahid terkhilaf dalam isu TH

Firdaus Azil, Astro Awani


Abdul Azeez dakwa Mujahid terkhilaf dalam isu TH
ABDUL AZEEZ: Selain EY, laporan dan kedudukan kewangan TH telah disemak oleh Jabatan Audit Negara (JAN), yang kemudiannya memperakukan melalui sijil bersih setiap tahun kepada TH. - Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Dakwaan Tabung Haji (TH) melanggar akta perbadanan itu ketika melakukan pembayaran hibah untuk tahun 2015, 2016, dan 2017, seperti mana disebut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa adalah tidak benar sama sekali, kata bekas Pengerusinya Datuk Seri Abdul Azeez Rahim.

Ahli Parlimen Baling itu berkata, laporan audit yang disediakan PricewaterhouseCoopers (PwC) bahawa nilai liabiliti TH ialah sebanyak RM74.4 bilion melebih nilai aset (RM70.3 bilion) tidak tepat kerana ia tidak mengambil kira nilai realis aset keseluruhan.

Abdul Azeez berkata, nilai realis aset keseluruhan yang dimaksudkan termasuklah anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.

“Saya terkejut dengan dakwaan menteri kononnya pengurusan terdahulu telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dengan tidak mengikut Akta Tabung Haji 1995.

“Dengan kata lain, TH dikatakan telah membayar hibah kepada pendeposit secara haram berjumlah RM12.652 bilion selama emepat tahun berturut-turut hingga 2017 mengakibatkan TH kekurangan RM4.1 bilion” katanya kepada sidang media di Lobi Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menjelaskan lanjut, Abdul Azeez berkata, laporan yang disediakan PwC tidak mengambil kira laporan penuh syarikat firma pengauditan terdahulu iaitu Ernst & Young (EY).

“Bagi tahun 2015, nilai realis aset adalah RM64.7 bilion, berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion, yakni lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion

“Nilai aset realis pada 2016 ialah sebanyak RM69.1 bilion, agregat liabiliti selepas mengambil kira hibah 2016 ialah sebanyak RM68.4 biliom, maka ada lebihan aset ke atas liabiliti sebanyak RM701 juta.

“Bagi tahun 2017, nilai aset realis adalah sebanyak RM74.7 bilion, berbanding agregat liabiliti termasuk bayaran hibah 2017 sebanyak RM74.4 bilion, maka ada lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM373 juta,” kata beliau.

BACA: TH perlu saman individu terlibat dalam salah laku - Asyraf

BACA: Tabung Haji perlu tumpu semula kepada tujuan asalnya - Anwar

Ini, jelas Abdul Azeez lagi, menunjukkan TH telah membayar hibah mengikut peruntukan Seksyen 22(3)(a) Akta Lembaga Tabung Haji 1995 dan tidak menyalahi sebarang undang-undang.

Beliau berkata, penyata kewangan yang dibentangkan ke Parlimen setiap tahun belum mengambil kira kesemua aset pada nilai pasaran terkini, yang juga bermaksud nilai realis aset.

“Apa yang dibuat oleh TH terdahulu tidak salah kerana penilaian tersebut disahkan oleh Tetuan EY yang sangat profesional dan beretika.

“Selain EY, laporan dan kedudukan kewangan TH telah disemak oleh Jabatan Audit Negara (JAN), yang kemudiannya memperakukan melalui sijil bersih setiap tahun kepada TH,” kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu.

Beliau berkata, sungguh pun wujud perbezaan pandangan dan tafsiran mengenai dasar perakaunan dalam penilaian aset antara EY dan PwC, laporan muktamad adalah berdasarkan pengesahan JAN.

Tiada ulasan: