Isnin, 15 Oktober 2018

Warga Perancis disyaki pengganas maut kemalangan di KL

 


Seorang lelaki dengan kerakyatan Perancis dan disyaki terlibat dalam aktiviti keganasan meninggal dunia pada Ahad lalu selepas van polis yang membawa dia bersama tiga suspek lain terlibat dalam kemalangan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3.30 petang pada Jumaat lalu apabila tayar van polis yang dalam perjalanan dari Perlis ke Kuala Lumpur tiba-tiba pancit lalu menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan.

Sumber memberitahu Malaysiakini, suspek berkenaan Mickael Alain Louvier kemudian dihantar bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh tetapi meninggal dunia selepas itu.

"Sepasukan polis dari Bahagian Antikeganasan Cawangan Khas mengiringi empat suspek teroris yang dibawa dari Perlis apabila salah satu tayar bocor di Kilometer 428 menyebabkan ia hilang kawalan dan terbabas.

"Kemalangan itu juga menyebabkan dua konstabel polis dan empat suspek (termasuk Louvier) cedera parah," kata sumber.

Dia menjelaskan polis telah membawa suspek itu ke Perlis untuk mencari lebih banyak bukti mengenai kes berkenaan.

Sebar fahaman Salafi Jihadi

Difahamkan Louvier cedera di bahagian kepala dan paru-paru.

Dua konstabel polis yang cedera parah pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang untuk siasatan.

Empat anggota polis lain dan tiga lagi suspek yang juga warga negara Perancis dihantar ke hospital di Sungai Buloh, Selayang dan Kuala Kubu Baru.

Seorang suspek telah dibenarkan keluar hospital, manakala yang lain dikatakan stabil.

Suspek merupakan sebahagian daripada lapan individu yang ditahan Bahagian Antikeganasan pada 24 Sept lalu berhubung siasatan mengenai cubaan kumpulan pengganas untuk menubuhkan sebuah madrasah di Asia Tenggara dan didakwa mahu menyebarkan fahaman Salafi Jihadi.

Kenyataan media yang dikeluarkan Bukit Aman baru-baru ini menyatakan rakyat Perancis berkenaan merupakan pelajar pusat pendidikan Islam di Perlis.

Perisikan yang diterima daripada rakan sejawat polis di luar negara mendedahkan mereka mempunyai hubungan baik dengan kumpulan IS) tau kumpulan pelampau lain di negara asal mereka.

Malaysiakini dimaklumkan jenazah Louvier dihantar ke Perlis untuk dikebumikan.

Tiada ulasan: