Isnin, 8 Oktober 2018

UMNO AKAN DILANDA DUA ‘BENCANA’ – LOKMAN




Pengerusi NGO Pemantau Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa UMNO akan berdepan dua ‘bencana’ yang akan berlaku pada bila-bila masa.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, Presiden parti itu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bakal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diikuti dengan pengharaman UMNO.

“Mulai minggu ini, ahli-ahli UMNO akan diuji dengan tekanan dan penganiayaan tahap kedua oleh rejim zalim Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan DAP.

“Bagi menjatuhkan moral ahli UMNO, khususnya Ahli Parlimen UMNO, minggu ini Ahmad Zahid Hamidi akan ditahan oleh SPRM.

“Malah, jika minggu lepas, anak Ahli Parlimen Baling, Datuk Sri Azeez Rahim, Anwar Azeez turut menjadi mangsa, minggu ini kezaliman, Pakatan Harapan (PH) ini akan mengheret sama anak Presiden dan ahli keluarga mana-mana Ahli Parlimen UMNO yang masih enggan tunduk dengan ugutan mereka,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Lokman turut mempersoalkan ahli UMNO yang terus berdiam diri serta seolah-olah merelakan musuh politik UMNO menghancurkan parti keramat ini.

“Mungkin ahli-ahli UMNO dan kepemimpinannya boleh memberikan pelbagai alasan untuk tidak turun dan menyatakan solidariti kepada bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak, tetapi apalah rupanya jika Presiden kita turut dianiaya.

“Adakah pemimpin dan ahli UMNO masih berdiam diri dan berpeluk tubuh? Jika sekali lagi, kepemimpinan dan ahli UMNO membiarkan nasib Presiden, Naib Presiden dan seterusnya kepimpinan tertinggi UMNO yang lain dibiarkan tanpa pembelaan, maka isyarat jelas akan kita sampaikan kepada dunia luar bahawa benarlah roh perjuangan UMNO sudah mati.

“Tiada lagi kepemimpinan UMNO akan meneruskan perjuangan menentang rejim zalim ini sekiranya mereka dibiarkan berseorangan menghadapi tekanan ini,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, pengharaman UMNO merupakan tindakan paling tepat untuk melemahkan semangat ahli parti ini.

“Dr Mahathir tahu, ramai yang akan pasrah dan putus asa jika UMNO diharamkan. Ini akan memudahkan beliau meyakinkan mereka yang bagai kehilangan arah ini untuk menyertai beliau,” katanya.


Tiada ulasan: