Isnin, 1 Oktober 2018

Tanah hadiah untuk Aishah didakwa tak seindah janji

MALAYSIAKINI

   
Tak ada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan Aishah selepas dia dimaklumkan - akhirnya - hadiah yang ditunggu-tunggu kini menjelma.

Hampir setahun menanti tanah yang sepatutnya menjadi hak penyanyi itu kini berada di depan mata.
Namun ia bukanlah khabar yang diharapkan oleh penyanyi Janji Manismu itu.

Kata Aishah dia dijanjikan tanah tapak banglo selepas menjuarai Gegar Vaganza 4 (GV4) pada tahun lalu namun berlaku keributan apabila ia tidak diterima penyanyi terbabit.

Selepas media membuat pendedahan mengenainya, kini Aishah menerima hadiah yang ditunggu-tunggu itu. Tapi ia bukanlah bermakna semuanya sudah selesai.

"Sekarang diberitahu tanah yang dijanjikan itu bukanlah lot banglo, sebaliknya lebih kecil.

"Katanya itulah perjanjian (penaja) dengan badan penyiaran.

"Wow!!! Hampir setahun baru nak bagi tahu?" dedah Aishah di media sosial hari ini.

Sebenarnya isu hadiah tajaan GV4 dan pemenang memang menjadi 'panas' selepas beberapa daripada mereka membuat pengakuan.

Selain Aishah, Lan Solo juga mengaku tidak menerima hadiah yang seperti dijanjikan.

Mengenai hadiah yang diterima itu Aishah berkata dia tidak pasti bagaimana harus memberi reaksi terhadapnya - sama ada menangis atau ketawa.
 
"Tak taulah nak nangis ke, nak ketawa...

"Dahlah susah payah nak tuntut hadiah, siap dengan maki hamunnya, minta tangguh lebih setahun," katanya.

Justeru penyanyi dari Negeri Sembilan itu mempertikaikan sama ada iklan yang diuar-uarkan di TV sebelum ini tepat atau mengelirukan orang ramai.

"Adakah ia kesilapan atau saja dibuat untuk gempakkan program? Hadoiii... I am speechless (saya hilang kata-kata)," katanya.


Tiada ulasan: