Isnin, 15 Oktober 2018

RTC kepada PKD: 'Nak tukar, tukarlah' - Najib

Rahimah Abdullah, Astro Awani
RTC kepada PKD: 'Nak tukar, tukarlah' - Najib
Najib menganggap penjenamaan RTC kepada PKD hanya sekadar perubahan pada nama, namun, matlamatnya tetap sama seperti yang diinginkan kerajaan di bawah BN sebelum ini. - BERNAMA/Fail
 
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) ada 'bakat' dalam penjenamaan semula susulan penukaran Transformasi Luar Bandar (RTC) kepada Pusat Komuniti Desa (PKD).

Bekas perdana menteri itu percaya, apa yang dilakukan kerajaan hari ini hanya untuk menghapuskan sebarang peninggalan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

"Kerajaan hari ini cukup hebat dan istimewa. Mereka ini sarat dengan bakat penjenamaan semula. Saya faham mereka mahu menghapuskan apa-apa sahaja peninggalan Kerajaan Barisan Nasional dan Najib Razak. Walaupun hanya dari segi nama dan mereka nak ambil kredit. Tak apalah, nak tukar nama, tukarlah," katanya dalam status di laman Facebook rasminya hari ini.

Najib, yang juga bekas pengerusi BN, menganggap penjenamaan RTC kepada PKD hanya sekadar perubahan pada nama, namun matlamatnya tetap sama seperti yang diinginkan kerajaan di bawah BN sebelum ini.

"Yang penting bagi saya, rakyat masih dapat manfaat dan nikmat dari kemudahan yang diberikan melalui semua program dan inisiatif yang kita bangunkan dulu," ujarnya.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun sebelum ini berkata, bermula bulan ini, semua 201 RTC di seluruh negara akan dijenamakan sebagai PKD.

Penjenamaan baharu itu merangkumi 196 RTC mini dan lima RTC yang akan ditingkatkan matlamat penubuhannya pada masa depan.

Tiada ulasan: