Rabu, 3 Oktober 2018

PRK Port Dickson : Saiful Bukhari kecewa kerusi dikosongkan, nafi ditaja



PRK Port Dickson : Saiful Bukhari kecewa kerusi dikosongkan, nafi ditaja

Calon Bebas PRk Port Dickson Mohd Saiful Bukhari Azlan yang menafikan penyertaannya dalam PRK itu ditaja pihak tertentu.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat selepas beliau menimbang pelbagai faktor termasuk rasa kecewa apabila kerusi berkenaan dikosongkan secara sengaja demi memberi laluan kepada Anwar bertanding.

Anak kelahiran Johor Bahru itu berkata selain menyekat Anwar, penyertaannya juga adalah sebagai isyarat kepada parti-parti politik supaya tidak mengambil mudah amanah yang telah diberikan rakyat kepada wakilnya.

“Saya sebagai anak muda, saya mahu memberi satu isyarat bahawa rakyat di luar ini sudah muak dan tak boleh terima sistem demokrasi kita ini dimomokkan sedemikian rupa. Jadi saya harap dengan penentangan saya ini (terhadap pengosongan kerusi) dan jika rakyat terima, kita harap ia ditamatkan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya walaupun tiada jentera kempen yang besar membantunya, beliau akan memaksimumkan penggunaan media sosial untuk meraih sebanyak mungkin sokongan.

“Selain penggunaan teknologi, saya juga akan berkempen secara tradisional iaitu bersemuka dan sekiranya ‘crowd’ tidak ramai, maka kita akan buat siaran langsung dalam laman sosial Facebook (FB live) dan sebagainya supaya masyarakat Port Dickson dapat melihatnya,” katanya.

Ditanya tentang persepsi dan penerimaan rakyat terhadap dirinya ketika berkempen memandangkan beliau sebelum ini pernah terlibat dalam kontroversi yang menggegarkan negara, Mohd Saiful Bukhari berkata itu merupakan cabaran baginya untuk meyakinkan rakyat.

“Ada juga yang bertanya dan itu cabaran pertama saya yang perlu saya jelaskan.. dalam masa dua tiga hari ini itulah soalannya. Jadi memang kita perlu jelaskan bahawa saya betul-betul serius saya datang ke sini untuk mewakili mereka dan bukannya buat sibuk mahu ingatkan orang mengenai kisah lama,” katanya.

Beliau berkata PRK Parlimen Port Dickson merupakan penyertaan rasminya dalam arena politik dan akan terus aktif berpolitik walaupun kalah pada pilihan raya itu.

Selain Mohd Saiful Bukhari dan Anwar, PRK Parlimen Port Dickson yang menyaksikan persaingan tujuh penjuru turut melibatkan Lt Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar (PAS) dan empat lagi calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lepas, penyandang kerusi berkenaan Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, memenangi kerusi itu dengan majoriti selesa 17,710 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Datuk V.S. Mogan dan Mahfuz Roslan daripada PAS.

Pada 12 Sept lalu, Danyal mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding pada PRK dalam usaha kembali ke Dewan Rakyat.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 13 Okt sebagai hari pengundian dan 9 Okt hari pengundian awal.

Tiada ulasan: