Sabtu, 6 Oktober 2018

PKR : SIASAT DAKWAAN AHLI DIUGUT UNDI CALON TERTENTU



Dakwaan calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa kemenangan pencabarnya dalam pemilihan di Johor adalah ‘meragukan’ perlu disiasat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, JPP perlu menyiasat bagi membuktikan kesahihan dakwaan tersebut.

“Adakah benar terdapat ahli yang menerima desakan atau paksaan daripada pihak tertentu ketika proses mengundi.

“Namun kalau ada pihak yang berkempen atau minta ahli untuk mengundi calon tertentu, ia bukanlah satu bentuk gangguan, tetapi kalau ada desakan secara kasar atau ugutan, ia adalah perkara salah,” katanya.

Beliau ditemui media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra dan Hi-Tea Menteri Besar Selangor bersama Media di Shah Alam, pada Jumaat.

Sebelum ini Rafizi mendakwa pengawas JPP telah mengundi bagi pihak ahli parti serta meminta ahli memilih calon tertentu semasa proses pengundian di cabang Labis, Johor.

Sehubungan itu, beliau menggesa JPP membatalkan keputusan pemilihan PKR cabang Labis.

Beliau turut mempunyai bukti berhubung perkara itu dan akan menghantar laporan lengkap mengenai kemenangan yang didakwa meragukan itu.

Keputusan pemilihan PKR di Johor menyaksikan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memperoleh 5,852 undi manakala Rafizi 5,025 undi.

Sebelum ini, Pengerusi JPP, Datuk Rashid Din meminta Rafizi Ramli menunjukkan bukti bahawa terdapat salah laku membabitkan pengawas JPP.


Tiada ulasan: