Ahad, 7 Oktober 2018

PEMILIHAN PKR: JANGAN BUAT KACAU DI SELANGOR – AMIRUDIN


Wartawan Watan Online



Ahli PKR Selangor diingatkan jangan membuat kacau dalam pemilihan parti di negeri ini yang dijadualkan pada 14, 21 dan 28 Oktober nanti.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, budaya provokasi yang sengaja dicetuskan perlu dibuang bagi melicinkan perjalanan pemilihan.

“Pendirian PKR sangat jelas. Siapa buat tindakan kasar, kita akan bertegas. Ahli yang mendatangkan masalah perlu dikenakan tindakan.

“Dalam pada masa sama Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) diharap dapat meningkatkan tahan keselamatan, termasuk bekerjasama dengan polis bagi memantau keadaan,” katanya.

Beliau yang akan bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR ditemui pemberita selepas melepaskan peserta Bukit Melawati Xploride 2018 pada Sabtu.

Sebelum ini, pemimpin PKR menggesa JPP memperketatkan aspek keselamatan susulan keputusan PKR yang akan meneruskan sistem e-voting pada pemilihan parti.

Pada 22 September lalu, keputusan rasmi pemilihan PKR di Kedah dibatalkan selepas hanya enam daripada 15 cabang di negeri itu dapat menjalankan proses pengundian.

Susulan itu, pemilihan di Perlis dan Perak yang sepatutnya diadakan pada 23 September terpaksa ditangguhkan bagi membolehkan JPP mengatasi segala masalah yang timbul dalam proses pemilihan termasuk pada sistem e-voting.

Pemilihan PKR menyaksikan 76 jawatan dipertandingkan pada peringkat pusat dan 10,212 jawatan lagi membabitkan persaingan peringkat cabang seluruh Malaysia.

Seramai 800,000 anggota parti layak untuk mengundi pada pemilihan kali ini.


Tiada ulasan: