Selasa, 9 Oktober 2018

Mais teruskan penguatkuasaan jenayah syariah

SINAR HARIAN

Datuk Mohammed Khusrin Munawi
Mohammed Khusrin Munawi
 
 
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (Mais) akan meneruskan tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang aduan melibatkan semua kesalahan jenayah syariah termasuk khalwat melalui Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pengerusi Mais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi turut menegaskan pelaksanaan undang-undang syariah adalah di bawah bidang kuasa negeri serta diperuntukkan dengan jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri.

“Bagaimanapun Mais akan sentiasa memantau dan memastikan tindakan penguatkuasaan yang dijalankan bertepatan prosedur operasi standard (SOP) diluluskan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Justeru, Mais menasihati semua umat Islam di Selangor untuk tidak melakukan apa-apa kesalahan termaktub dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohammed Khusrin menggesa semua pihak untuk memberi maklumat berkaitan apa-apa perbuatan jenayah syariah yang berlaku untuk tindakan penguatkuasaan, ke hotline Jais 1-800-88-2424.

Isu khalwat menjadi tumpuan selepas sebuah akhbar bahasa Inggeris tempatan pada Sabtu lalu menyiarkan laporan temu bual bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bertajuk ‘No More Moral Policing’ serta versi dalam talian ‘No more night khalwat raids or intrusion into Muslims private lives, says Mujahid’. (‘Tiada lagi kepolisan moral’ dan ‘Tiada lagi serbuan khalwat waktu malam atau menerjah kehidupan peribadi orang Islam, kata Mujahid’) - Bernama

Tiada ulasan: