Selasa, 16 Oktober 2018

Isham Rais beri keterangan siasatan fitnah

 
   

Aktivis sosial Hishamuddin Rais hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini bagi memberi keterangan berhubung laporan polis yang dibuat terhadapnya berkaitan dengan artikel membabitkan seorang ahli politik yang dimuat naik di blognya.

Hishamuddin selesai memberi keterangan kira-kira 40 minit selepas hadir ke IPD Sentul pada pukul 2.30 petang tadi dengan diiringi peguamnya Zaid Malek.

“Ketika proses beri keterangan, saya menjawab segala soalan berkenaan artikel yang dimuat naik di blog saya, bagaimanapun soalan yang berkaitan dengan siasatan kes hanya akan saya jawab di mahkamah.

“Saya sedia untuk terus memberi kerjasama berhubung kes ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di IPD Sentul sebaik selesai memberi keterangan.

Artikel yang dimuat naik dalam blog tukartiub.blogspot.com miliknya itu menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Jemaah Kabinet Menteri dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK) Tun Daim Zainuddin supaya menubuhkan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat penyelewengan dan salahguna kuasa seorang ahli politik semasa menerajui sebuah syarikat berkaitan kerajaan.

Sementara itu, peguamnya, Zaid Malek berkata anak guamnya disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Selain itu, Zaid juga tidak bersetuju dengan siasatan polis yang dilakukan di bawah fitnah.

Menurutnya, pengadu hanya membuat laporan polis melalui seorang kakitangannya dan kes terus disiasat kerana fitnah.

"Sepatutnya, pengadu perlu membuat saman fitnah dahulu baru siasatan lanjut boleh dilakukan polis kerana fitnah," jelasnya.- Bernama


Tiada ulasan: