Ahad, 19 Ogos 2018

Terlalu awal untuk menilai Putra - Penganalisis

Irwan Muhammad Zain, Astro Awani
Terlalu awal untuk menilai Putra - Penganalisis
Ibrahim ketika mengumumkan penubuhan Putra. -Gambar fail
 
KUALA LUMPUR: Terlalu awal untuk melihat sama ada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) memberi kesan kepada landskap politik negara.

Menurut penganalisis politik Prof Dr Mohd Fuad Mat Jali, kesan penubuhan Putra bergantung kepada sejauh mana parti itu diterima masyarakat di mana ia mungkin memakan masa dua atau tiga tahun.

"Masih terlalu awal untuk melihat jika ada impak atau tidak, tetapi sebagai sebuah parti kecil, saya melihat impaknya itu amat bergantung kepada sejauh mana parti ini diterima masyarakat sebab ia baru ditubuhkan.

"Saya rasa impaknya mungkin setahun atau dua tahun atau mungkin menjelang PRU15, kesannya baru ada untuk menjadi parti alternatif kepada orang Melayu," katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas kegusaran banyak pihak tentang penubuhan parti baharu akan memecahbelahkan orang Melayu, beliau berpendapat jika Putra tidak dapat mendapat sambutan, perpecahan dalam kalangan orang Melayu tidak akan berlaku.

Namun, katanya, menjelang pilihan raya umum akan datang, Putra mungkin akan memberi kesan dan boleh memecahkan undi serta sokongan orang Melayu.

"Bila ada parti baharu masuk tentunya akan ada perpecahan, tetapi kita tidak tahu sejauh mana sokongan kepada parti baharu ini.

"Menjelang PRU15, mungkin akan ada lebih banyak parti lagi dan ini membuatkan lebih banyak pilihan dan tentunya sokongan akan berpecah," katanya lagi.

Pada Jumaat, bekas ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali mengumumkan penubuhan Putra yang  membawa agenda menjaga kepentingan umat Islam dan kaum Melayu di samping mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Ibrahim mendakwa beliau menerima banyak permintaan menubuhkan sebuah parti politik daripada pelbagai pihak yang kurang senang dengan situasi politik semasa.

Tiada ulasan: