Isnin, 27 Ogos 2018

TEAM RAFIZI KALAH MORAL – BADRUL HISHAM




Tindakan Abdullah Sani Abdullah Hamid memohon maaf kepada Tun dr Mahathir Mohamad berhubung dakwaan cuba menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri disifatkan sebagai kekalahan moral kepada ‘team’ Rafizi Ramli.

Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata, Abdullah Sani yang juga antara pemimpin membentuk ‘team’ Rafizi pada pemiihan PKR dilihat hilang kredibiliti selepas membuat ‘u-turn’ menarik tuduhan itu.

“Bila hero Hang Jebat (Abdullah Sani) yang sebelum ini garang mengheret Dr Mahathir dan Tun Daim Zainuddin dalam kempen PKR kononnya PKR dikuasai pihak tertentu dari luar parti, namun akhirnya tersedu meminta maaf.

“Beliau telah meminta maaf atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ia merupakan kekalahan moral yang besar kepada ‘team Rafizi,” katanya kepada Watan Online pada Isnin.

Badrul atau lebih dikenali sebagai Chegubard berkata, ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) rakyat diyakinkan bahawa Dr Mahathir dan pemimpin PKR sudah berbaik antara satu sama lain, namun sebaliknya berlaku.

“Rakyat diyakinkan Dr Mahathir dan pemimpin yang berada dekat dengan Perdana Menteri itu sudah ‘bersih’ serta telah berbaik dengan Anwar.

“Tetapi sekarang timbul pelbagai isu melibatkan antara Dr Mahathir dan PKR apabila ada pihak menuduh ada tangan ghaib untuk menentukan barisan kepemimpinan PKR.

“Masa PRU-14 cakap Dr Mahathir diterima baik oleh pemimpin PKR, tetapi selepas PRU-14 lain pula ceritanya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan Rafizi supaya mengubah gaya politik kasar ala pembangkang kepada cara matang dan tenang.

“PKR bukan lagi pembangkang. Sebagai parti yang membentuk Kerajaan Persekutuan, PKR perlu berhati-hati dalam setiap perkara kerana ia melibatkan imej sebuah kerajaan,” katanya.

Sebelum ini telah berkali-kali mendakwa terdapat cubaan untuk menggagalkan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri, Abdullah Sani akhirnya membuat u-turn dengan menafikan perkara itu.

Abdullah Sani berkata, Anwar memberi arahan kepadanya untuk menarik semula dakwaan terdapat komplot untuk menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.

Abdullah Sani mendakwa Daim Zainuddin mengadakan persefahaman dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali bagi menghalang Anwar menjadi Perdana Menteri.


Tiada ulasan: