Ahad, 26 Ogos 2018

Tiga laporan polis terhadap pemilik FB ugut timbalan menteri


scam
Gambar hiasan
 
 
KUANTAN - Tiga laporan polis dibuat terhadap pemilik akaun Facebook bernama Mohd Azmi Ismail yang didakwa mengeluarkan kenyataan kurang sopan dan mengugut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh.

Laporan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum Sim Chon Siang;  Pegawai Khas Fuziah, Fakhrul Anuar Zulkawi; dan adik ipar Ahli Parlimen Kuantan itu, Razali Abd Rahman di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini, hari ini.

Fakhrul Anuar berkata mereka menggesa pihak polis menjalankan siasatan ke atas pemilik akaun laman sosial berkenaan kerana telah mengeluarkan kenyataan jelik yang mengancam keselamatan Fuziah dan keluarganya.

"Pemilik akaun itu menggunakan bahasa kesat yang tidak sepatutnya. Jika ada perkara yang mendatangkan perasaan tidak puas hati, dia boleh menegur dan menulis malah boleh berjumpa dengan Yang Berhormat (Fuziah) untuk berbincang.

"Bukan dengan cara menggunakan bahasa kesat dan makian di laman sosial. Kami mendesak pemilik akaun itu tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada YB," katanya.

Fakhrul Anuar berkata sejak membaca kenyataan itu pada jam 11 pagi 23 Ogos lalu, kenyataan itu masih belum dipadamkan oleh pemilik akaun berkenaan setakat hari ini.

Sementara itu, Razali, 53, berkata laporan polis itu perlu dilakukan kerana pemilik akaun berkenaan telah mengugut bukan sahaja Fuziah, malah wanita di dalam keluarganya menerusi kenyataannya.

"Laporan ini juga demi maruah dan keselamatan keluarga. Kenyataan pemilik akaun itu juga boleh disifatkan sebagai gangguan seksual kepada wanita di dalam keluarga kami," katanya.

Berdasarkan salinan kepada pihak polis, pemilik akaun berkenaan didakwa mengeluarkan kenyataan itu sebagai reaksi kepada kenyataan Fuziah dalam isu berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). - Bernama

Tiada ulasan: