KUALA LUMPUR: Orang
Islam yang mengadakan undang-undang atau peraturan berlainan dari
syariat ditetapkan Allah sebenarnya telah menyamai tindakan sama
dilakukan oleh orang Yahudi dan Kristian.
Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang berkata, orang Yahudi dan Kristian walaupun percaya kepada
tuhan tapi membuat undang-undang sendiri dalam perkara yang tidak
diizinkan Allah.
Sedangkan menurutnya, orang Islam
mengimani dengan pujian bahawa Allah adalah tuhan sekalian alam dengan
makna menjadikan, mencipta, mengada dan menguruskan peraturan-peraturan
bagi makhluk-Nya.
"Kami beribadat kepada Allah Taala,
ikhlas kerana Allah Taala. Memperhamba diri kepada Allah Taala, tidak
beribadat kepada yang lain daripada Allah. Tidak menyembah yang lain
daripada Allah. Tak mengadakan hukum syariat dalam perkara yang tidak
diizinkan Allah. Ini beza.
"Kami buat ibadat kerana Allah Taala. Tak ada riak, tunjuk-tunjuk ke orang. Tak ada ujub, kagum dengan diri sendiri. Tak ada sum'ah, nak memasyhurkan diri, tidak! Ikhlas kerana Allah Taala," kupasnya dalam Kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, Marang, semalam.
Jelasnya, memang tidak dapat dinafikan
ketika melaksanakan ibadah sedemikian akan diganggu oleh Syaitan, di
mana hal tersebut memerlukan tazkiyah bagi membersihkan dan
menghindarinya dari menjadi sifat dalam diri.
Kerana tegasnya, tujuan orang Islam
adalah menghambakan diri kepada Allah dan tidak syirik dengan
melaksanakan ibadah mengikut syariat dan bukan dengan cara sendiri.
Lanjut beliau, Yahudi dan Kristian juga
agama-agama lain ada mereka yang belajar kitab suci di mana menerangkan
mengenai kelahiran Nabi akhir zaman, Muhammad S.A.W, tetapi mereka zalim
apabila menyembunyikannya.
Jelas beliau, para paderi, pendeta dan
sami-sami menyembunyikan kebenaran itu dari pengikut mereka yang tidak
mengerti maksud sebenar di dalam kitab suci dan menyesatkan manusia
dengan pelbagai cara.
"Sudahlah mereka tahu Islam ini betul,
mereka rosakkan, punahkan orang Islam. Terdapat kalangan mereka yang
berusaha supaya orang Islam meninggalkan agama Islam, jadi murtad.
"Setelah orang Islam gagal dimurtadkan,
mereka bawa pula ajaran-ajaran supaya orang Islam ini gelincir,
gelincut. Tak apalah sembahyang puasa ikut Islam. Dalam bab politik,
ekonomi dan bab lain, ikut teori-teori ciptaan manusia.
"Tak apalah, kalau sebahagian pun,
(asalkan) ikut mereka. Ini masalah yang kita alami. Ataupun Islam juga,
(tapi) ubah nama. Islam Liberal, Islam Sosialis, Islam Komunis, Islam
Demokrasi, Islam Siyasi, Islam Hadhari.
"Bubuh nama untuk selewengkan orang
daripada ajaran Islam yang sebenar. Ini cara mereka buat," terangnya di
mana mereka itu juga sering mengaku sebagai anak cucu cicit Nabi-nabi
terdahulu mengupas tafsir ayat 135 hingga 141 surah al-Baqarah.
Beliau juga mengingatkan agar tidak
menyamai perbuatan golongan tersebut yang berbangga dengan keturunan,
sedangkan manusia akan dihisab dengan amalannya sendiri dan bukannya
dari amalan orang lain. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan