Jumaat, 31 Ogos 2018

Jangan anak tirikan Sarawak seperti zaman BN – Mordi Bimol


Oleh

Kemenangan Mordi Bimol mewakili DAP menumbangkan gergasi pollitik Barisan Nasional (BN) Datuk Anthony Nogeh Gumbek di Parlimen Tasik Biru membuka lembaran baru lanskap politik Bumi Kenyalang itu.

Majoriti selesa 3,024 menewaskan BN di kubu tradisi mereka memberi keyakinan baru bahawa  masyarakat luar bandar berjaya meloloskan diri dari cengkaman hegemoni ketakutan yang sering dimomokkan parti pemerintah terdahulu.

Namun, apa yang terpenting buat anak muda berusia 33 tahun ini tumpuan tidak hanya akan diberikan kepada soal infrastruktur dan ekonomi semata-mata tetapi lebih besar dari itu, beliau mahu agar kerajaan baharu Pakatan Harapan membahagikan peruntukan mencukupi dan seimbang kepada Sarawak.

Katanya, meskipun pembangunan dilaksanakan di Sarawak, ia masih tidak berbaloi dengan penantian lebih 50 tahun sejak pemerintahan regim BN khususnya melibatkan infrastruktur asas, pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial masyarakat luar bandar.

Selain itu, Mordi dilihat amat menitik beratkan soal pendidikan khususnya bagi kawasan pedalaman melibatkan penambahbaikan sistem dan kemudahan pendidikan di wilayah Borneo itu yang masih jauh ketinggalan.

Katanya, tinjauan ke dua sekolah di kawasannya sahaja iaitu di Sekolah Menengah Lake dan Sekolah Menengah Senibong mendapati terlalu banyak kelemahan malah tambah menyedihkan, perpustakaan sekolah didapati hanya memiliki koleksi buku ‘zaman purba’.

“SMK Lake contohnya yang terletak dalam kawasan Mas Gading, bangunan pentadbiran dua tingkat yang menempatkan bilik guru dibina daripada kayu pada tahun 1967 kini teruk diserang anai-anai tetapi masih terpaksa digunakan, dengan dindingnya yang berlubang-lubang, dan lantainya yang mereput, sehingga kini masih menunggu peruntukan.

“SMK Senibong, sekolah menengah berasrama yang baru 2 tahun beroperasi, juga terletak di dalam Mas Gading, cantik luaran, tapi tak ada bekalan air. Daripada beratus orang pelajar yang tinggal di asrama, akhirnya tinggal 11 orang kerana masalah air yang berpanjangan,” ujarnya.

Mordi memberitahu, segala masalah berhubung keuzuran bangunan sekolah dan infrastruktur asas telah disuarakan di Parlimen kepada Menteri Pendidikan di Parlimen lebih-lebih lagi melibatkan peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan dan baik pulih.

“Saya juga minta penjelasan beliau sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk membina sekolah kebangsaan ataupun sekolah menengah kebangsaan yang baru di dalam kawasan Parlimen Mas Gading,” kata Mordi.

Statistik sekolah usang tinggi di Sarawak

Apa yang lebih mengejutkan, kedua-dua sekolah itu hanyalah sebahagian kecil dari masalah yang telah dihadapi lama di seluruh Sarawak.

Dedahnya, terdapat 371 buah sekolah di Sarawak masih tidak memiliki bekalan elektrik dan bergantung sepenuhnya dengan set penjana tenaga dan 428 sekolah masih tidak mempunyai bekalan air terawat.

“721 buah sekolah masih tidak ada jalan masuk, jumlah ini adalah lebih kurang separuh daripada jumlah sekolah yang ada di Sarawak.

“200 buah daripadanya hanya boleh dimasuki melalui jalan air atau sungai,” dedah beliau.

1,020 daripada 1,454 buah sekolah di Sarawak pula katanya berada dalam keadaan usang. Daripada jumlah itu, 415 buah sekolah lagi berada dalam keadaan sangat usang iaitu tidak dapat diperbaiki lagi dan memerlukan bangunan baru.

“Kalau di bandar, ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah pada hari pertama persekolahan mungkin lebih risaukan baju baru, beg baru, kasut baru anak-anak mereka.

“Tetapi di kawasan saya, di kawasan luar bandar, ibubapa yg menghantar anak ke asrama terpaksa membawa tukul dan paku untuk membaiki katil-katil dan almari-almari anak mereka di asrama.

“Tinggi harapan saya sebagai anak Mas Gading untuk melihat anak-anak serta masyarakat di luar bandar dapat menikmati kemudahan pendidikan yang sama seperti anak-anak di bandar. Sebab kesamarataan tidak wujud buat mereka,” katanya lagi. – Roketkini.com


Tiada ulasan: