Ahad, 26 Ogos 2018

Mohd Irwan tanggung kesalahan jika polis percaya Najib tak beri kelulusan

Wartawan MalaysiaGazette
Lim Guan Eng
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng diserbu pihak media untuk mendapatkan respon berkenaan cukai SST selepas sesi taklimat SST bersama Menteri Kewangan di The Saujana Hotel Kuala Lumpur, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI,
 

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah akan menanggung segala kesalahan berhubung kekurangan RM19.25 bilion dalam akaun Tabung Bayaran Balik Cukai Barangan dan Jualan (GST) jika pihak polis percaya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak memberi kelulusan beberapa perkara berkaitan tabung itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sekiranya ia berlaku Mohd Irwan bukan sahaja melakukan kesalahan jenayah pecah amanah tetapi juga menyalahgunakan atau melebihi kuasanya dengan mengambil kuasa seorang Menteri.

“Ini kerana hanya Menteri Kewangan mempunyai kuasa untuk meluluskan agar RM19.25 bilion tidak dipindahkan ke dalam Tabung Bayaran Balik GST ataupun bayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Guan Eng, Najib yang juga mantan Menteri Kewangan telah menafikan beliau terlibat atau dimaklumkan dengan masalah besar kegagalan Kerajaan terdahulu membuat bayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion sejak tiga tahun lepas kepada 121,429 syarikat dan individu.

Tambah beliau, sukar dipercayai seorang Menteri Kewangan tidak sedar bahawa setakat 31 Mei 2018, ada sebanyak 121,429 syarikat dan individu tidak menerima bayaran balik GST antara 2015 hingga 2018, sungguhpun undang-undang menetapkan bayaran balik mesti dibuat dalam dua minggu.

“Malah Ketua Pengarah Jabatan Kastam DiRaja Malaysia Dato Seri T Subromaniam telahpun mengesahkan bahawa pihak Kastam telah menuntut wang bayaran balik terse butdalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Tabung Bayaran Balik GST yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Setiausaha Pembendaharaan Tan Sri Dr. Mohd Irwan Serigar Abdullah sejak 2015

“Malangnya, pembayaran balik tidak dapat dilakukan kerana cuma ada RM148.6 juta dalam Tabung Bayaran Balik GST yang sepatutnya berjumlah RM19.4 bilion, iaitu kekurangan RM19.25 bilion akaun Tabung Bayaran Balik GST,” ujarnya.

Sebelum ini, Najib menafikan tiga soalan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan itu dengan menjawab tiada.

Tiga soalan itu ialah adakah Najib meluluskan keputusan agar pembayaran balik GST tidak dibuat dalam masa dua minggu seperti yang ditetapkan di bawah undang-undang?

Soalan kedua adakah Najib meluluskan keputusan yang dibuat oleh Mohd Irwan untuk tidak memindahkan keseluruhan jumlah RM82.9 bilion seperti yang diminta oleh Jabatan Kastam, tetapi hanya memindahkan RM63.5 bilion sejak tahun 2015; iaitu kekurangan pemindahan dana sebanyak RM19.25 bilion kepada Tabung Bayaran Balik GST?

Manakala soalan ketiga, adakah Najib memberikan kelulusan agar jumlah pembayaran balik GST yang tidak dikembalikan sejak tahun 2015 dianggap sebagai hasil pendapatan kerajaan untuk digunakan secara sesuka hati.

Tambah Guan Eng, pada masa yang sama kerajaan terdahulu juga tidak mengembalikan cukai pendapatan dan cukai keuntungan harta tanah yang terlebih bayar, sebanyak RM16 bilion setakat
31 Mei 2018.

Katanya, baki kredit belum dibayar balik oleh LembagaHasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang berjumlah RM16.046 bilion ini melibatkan sebanyak 1,653,786 kes syarikat, individu, persatuan dan Yayasan sejak lebih 6 tahun lalu. – MalaysiaGazette.


Tiada ulasan: