Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata perkara itu tidak pernah berbangkit atau dibincangkan di mana-mana.
“Apa niat portal berita mereka-reka cerita kononnya 15 pemimpin Umno akan diminta berehat sementara Umno dipulihkan? Kononnya ini dicapai dalam ‘retreat’ Umno baru baru ini.
“Saya ingin menegaskan bahawa perkara seperti ini tidak pernah berbangkit atau dibincangkan di mana-mana pun. Tiada sebarang keputusan sedemikian dibuat.
“Tiada siapa perlu dihalang hak mereka malah kita akan terus saling bersandar dan bersolidariti sebagai satu keluarga besar Umno,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hari ini, sebuah portal berita melaporkan Najib akan diminta berehat sementara Umno pulih semula tanpa menamakan sumbernya.
Laporan itu menyebut, cadangan tersebut berbangkit semasa pemukiman Umno di Janda Baik baru-baru ini dan mendapat sokongan majoriti.
Dalam pada itu, Annuar berkata Umno akan terus bersifat terbuka dan demokratik.
“Sudah pasti ada pihak tertentu merancang dan menyusun cerita karut ini. Tiada mana-mana pemimpin Umno yang harus didiskriminasi .Apa lagi mereka mereka yang telah dipilih oleh rakyat atau telah dipilih oleh ahli parti.
Umno sebuah parti yang besar, kepimpinannya pelbagai latar belakang dan gaya kepimpinan. Segala perjalanan parti harus berpandukan peraturan dan Perlembagaan parti,” katanya.
Beliau juga melahirkan keyakinan parti Melayu itu akan muncul lebih kemas dan tersusun dalam menghadapi landskap baharu politik negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan