KEMPEN Pilihan Raya
Kecil (PRK) Balakong dan Seri Setia, Selangor, dimulakan dengan seruan
yang agak kontroversi oleh Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul
Hadi Awang, menyeru kepada ahli dan pengikut PAS yang layak mengundi di
Balakong, agar memberikan undi mereka kepada MCA iaitu parti komponen
utama BN. Manakala di Seri Setia pula, pemimpin BN, Umno secara
khususnya, beramai-ramai datang ke program-program kempen PAS, disambut
sebagai gabungan pembangkang, malah mereka turut berkempen bagi
memastikan kemenangan kepada Dr Halimah Ali, calon yang diangkat oleh
PAS.
Seruan ini diibaratkan curahan hujan
lebat di tanah yang kering gersang, yang mengalami kemarau berpanjangan
sebelum ini, iaitu seteru utama dahulu yang dianggap taboo dan
mustahil mahu disebut bersama, apatah lagi bersekutu, sekarang
bersalaman dan akan bergandingan menggegarkan kerajaan. Ia sekali gus
memeriahkan kempen. Tetapi ia disambut dengan gegak gempita fitnah oleh
PH, mengulang-ulang kembali bahawa sudah terbukti sejak sekian lama
tuduhan mereka, PAS sememangnya ingin bersama BN. Beberapa bekas Adun
PAS yang sudah terjun dari bahtera PAS pula, bingkas bangun menunding
jari membuktikan kebenaran kata-katanya sebelum ini bahawa memang wujud
kerjasama itu, sekali gus mahu menghalalkan terjunan mereka itu. Maka
dilaung-laungkan kata-kata amaran peninggalan almarhum Dato’ Bentara
Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan bahayanya berbaik-baik dengan Umno.
Gaya kelakuan mereka tidak ubah seperti
kisah anjing dengan bayang-bayang yang ternampak akan seekor lagi
‘anjing’ yang sedang menggigit tulang di dalam air. Lalu dia menerkam
‘anjing’ itu. Tetapi rupanya ia adalah wajahnya sendiri di dalam air.
Akibatnya dia hampir tenggelam dan tulang pun hilang. PH buat-buat lupa
yang mereka telah pun ‘berselingkuh’ dengan BN, objek yang mereka anggap
kotor dan jijik itu di Kedah dan Perak atas apa yang mereka dakwa
‘halal’. Dalam masa yang sama, mengharamkan gabungan lain. Mereka cuba
menerkam PAS dengan isu ini, dan mereka insyaAllah akan tenggelam dalam
air akibat daripada perbuatan mereka sendiri. Rakyat pula bijak melihat
gaya politik mereka. Begitulah perangai PH. Buat-buat lupa siapa yang
dahulu memulakannya.
Berbalik kita kepada isu ijtihad politik
Presiden PAS itu. Jika kita mengambil maksud ijtihad itu, ia berasal
daripada perkataan ‘ijtihada’ iaitu bersungguh-sungguh dalam
melakukan sesuatu. Dari segi istilah pula, ia adalah berkaitan dengan
mencurahkan tenaga sepenuhnya dan sebanyak mana usaha yang dijalankan
bagi mendapatkan hukum dan dalil menerusi sumber syarak. Ijtihad tidak
boleh dikeluarkan oleh bukan ulamak atau orang yang jahil untuk
mengenakan hukum kepada orang ramai. Juga tiada ijtihad ke atas perkara
yang qate’i atau muhkamat atau pasti seperti adakah
solat itu wajib dalam keadaan biasa. Ijtihad dibolehkan kepada ulamak
sahaja dan juga bagi hukum yang bukan qate’i seperti hukum membaca qunut ketika Solat Subuh. Dan politik Islam adalah salah satu ruang terbanyak bagi ijtihad diberikan.
Maka apabila pembenci Presiden PAS
berkata bahawa ijtihad Presiden PAS salah sebab dahulu kata mereka MCA
juga menentang Hudud, saya sebenarnya merasa gembira kerana ia adalah
satu pengakuan bahawa Presiden PAS layak berijtihad. Dan seperti
kenyataan di atas, hanya ulamak yang boleh berijtihad. Jika salah
ijtihad itu, dapat satu pahala. Jika betul, dapat dua. Dalam menghina,
mereka mengakui kehebatan Presiden PAS tanpa sedar. Ini terbukti kerana
tiada mereka anggap Tun Mahathir berijtihad apabila sekarang memeluk DAP
yang dahulu beliau tuduh rasis serta hal-hal buruk lain. Tidak juga
mereka iktiraf sebagai ijtihad bilamana Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
menerima kembali Tun Mahathir yang dulu pernah menuduh beliau bermain
‘kereta api’ dengan Azizan bekas pemandunya dan adik angkat beliau
Sukma. Walaupun sehingga kini Tun masih belum menafikan dakwaan beliau
itu.
Sebenarnya bangkangan oleh PH ini adalah
manifestasi ketakutan mereka terhadap kemaraan pembangkang yang
perlahan-lahan bergerak ke arah kesepaduan menentang kebobrokan parti
pemerintah yang saban hari dilihat lebih teruk daripada BN dahulu. Sudah
melewati 100 hari menduduki tampuk pemerintahan, PH masih gagal
melunaskan janji-janji awal manifesto. Jika dilihat ijtihad Presiden PAS
itu secara rasional, ianya jelas ditujukan kepada ahli dan penyokong
PAS sahaja. Tiada kena mengena dengan pengundi parti lain. Sebagaimana
mazhab, imam-imam mereka menjelaskan hukum fiqh kepada pengikut mazhab
mereka sahaja. Tidaklah as-Syafie memaksa pendukung Hanbali menerima
mazhabnya. Tidak juga Imam Malik menyuruh pengikut as-Syafie menetapkan
diri mereka dengan ijtihad beliau.
Bagi BN, seruan ketua merekalah yang
lebih aulia mereka ikuti dan bagi PH pula tidak diharapkan menyokong PAS
atau BN. Jadi apa yang PH gerunkan dengan gabungan ini? PH juga
mendakwa kedua-dua parti ini tidak diterima rakyat. Jadi bagi
menjelaskan lagi maksud kebimbangan PH ialah, mereka sebenarnya tidak
mempunyai sokongan akar umbi yang kuat. Ketika menang PRU dahulu, mereka
hanya berpaut pada dahan yang rapuh. Sokongan atas amarah rakyat
terhadap BN. Ianya bila-bila masa boleh runtuh. Ditambah dengan kempen
fitnah dan bohong PH yang terlampau sewaktu PRU dahulu, menimbulkan
penyesalan kepada rakyat yang mengundi mereka. Buktinya ialah hampir 40
peratus rakyat di PRK Sungai Kandis, tidak keluar mengundi dan PH
kehilangan kira-kira sembilan ribu undi. Dengan anggapan ahli PAS tidak
keluar mengundi, PH telah memenangi kembali kerusi itu dengan imej
tercalar. Jika diandaikan pula undi-undi penyokong PAS sebanyak tujuh
ribu lebih itu diberikan kepada BN, maka secara lojiknya, kerusi itu
akan jatuh kepada BN kerana PH menang majoriti hampir enam ribu sahaja.
Inilah perkiraan mudah politik yang
difahami oleh parti-parti yang bertanding dan juga rakyat Malaysia yang
jelas semakin tinggi cita rasa dan kefahaman politik mereka. Oleh itu
kegelisahan dan kecemasan PH, telah ditunjukkan secara jelas kepada
rakyat dengan PH kembali memainkan isu ‘Unity Government’ (UG)
antara PAS dengan BN, tanpa mereka merasa malu dengan kedangkalan hujah
itu. Jika pembangkang memenangi kerusi Balakong dan Seri Setia ini, maka
isyarat semakin jelas bahawa lima tahun ini mungkin menjadi tahun-tahun
yang paling panas buat PH. Bimbang mereka Datuk Seri Anwar, mungkin
buat kesekian kalinya akan gagal lagi menduduki kerusi empuk Perdana
Menteri kerana rakyat memberikan tanda bahawa mereka sebenarnya bukan
sahaja mahu BN diturunkan, tetapi juga, janji-janji manifesto dilunaskan
serta gaya politik matang. Ia bukan lagi barang mainan untuk
memperbodohkan rakyat.
PAS tetap istiqamah dalam perjuangan
mereka. Sebagaimana pesanan almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat,
jika Umno benar-benar melaksanakan Islam, maka tiada keperluan PAS
wujud. Jika itu berlaku, PAS mesti menjadi sebahagian daripada Umno
kerana haram bagi mengadakan dua jemaah Islam pada satu-satu masa di
tempat yang sama. Inilah pegangan Presiden PAS. Oleh kerana Umno tidak
mahu menjadikan jemaah mereka sebagai sebuah jemaah Islam yang tulin,
maka PAS diwujudkan. PAS telah cuba, sedang akan terus memandu mereka
supaya Islam didaulatkan di Malaysia. Tidak kira siapa, jika bergabung
dengan PAS, itulah perkara utama yang dipegang. Sama ada bersetuju atau
paling tidak, bersetuju untuk tidak bersetuju. Islam jelas sebagai nilai
terpenting PAS kepada semua. Sekiranya dua buah parti harapan Melayu
Islam ini bergabung atas nama Islam, bayangkan kekuatannya. Buat waktu
ini, BN adalah mudharat lebih kecil berbanding PH. Jelas kenapa BN
menjadi pilihan PAS untuk mengajar PH. Maka ijtihad Presiden PAS
selayaknya dituruti oleh ahli dan penyokong PAS sekurang-kurangnya untuk
PRK ini. - HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan