Ahad, 26 Ogos 2018

Halimey tidak gentar lawan bekas Exco Selangor

Nizam Zain

Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH) N.32 Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar bercakap pada sidang media sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Bilik Gerakan Utama Pusat Khidmat Rakyat ADUN Seri Setia, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

KELANA JAYA – Pengalaman Dr Halimah Ali sebagai Exco Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang sejak 2008 bukan satu cabaran boleh menggugat sokongan dan undi rakyat kepada Pakatan Harapan (PH).

Calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, walaupun calon Pas itu menang dalam pilihan raya kali ini, namun beliau tetap tiada akses kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menunaikan agendanya.

“Kalau dia kata ada pengalaman dari segi mentadbir jadi Exco, ketika itu jawatannya di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR).

“Tetapi sekarang ini PR sudah tiada dan beliau tiada lagi akses untuk disalurkan sekiranya dia menang di kawasan DUN Seri Setia.

“Saya berasa yakin tidak tercabar dan tidak berasa gusar sebab saya telah menjadi Ahli Majlis selama ini dengan lebih baik di kawasan Zon 24 dalam DUN Seri Setia,” katanya di Bilik Gerakan PH DUN Seri Setia, di sini, hari ini.
Halimey Abu Bakar
Calon Pakatan Harapan (PH) N.32 Dun Seri Setia, Halimey Abu 
Bakar (tengah) bersama penduduk melaungkan merdeka pada 
Program Semarak Kemerdekaan Komuniti sempena kempen 
Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Seri Setia di Flat Jalan PJS 5/2A, 
Desa Mentari, Petaling Jaya. foto SYAFIQ AMBAK
Beliau mengulas kempen pencabarnya dari parti Islam itu yang menggunakan pengalamannya sebagai Exco dan ADUN selama dua penggal ketika pentadbiran PR di Selangor.

Malah Halimah turut mendakwa isu agama yang cuba diperjuangkan PH hanya satu penerusan idea beliau ketika menjadi EXCO Pendidikan Selangor dan tiada perkara baharu cuba dibawa oleh Halimey.

Ketika Halimah menjadi EXCO, antara inisiatif yang diperkenalkan beliau ialah bantuan RM6 juta setiap tahun kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan menaikkan elaun guru agama sehingga RM1,500.

Halimey turut mengingatkan bekas wakil rakyat Selat Klang itu bahawa zaman pentadbiran PR sudah berlalu dan apa yang dilakukan kini menjadi sejarah semata-mata.

“Ini kerana Pas adalah pembangkang dalam Selangor bahkan juga dalam Kerajaan Persekutuan,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: