Ahad, 26 Ogos 2018

Mansuh BR1M: Bantuan kepada miskin tegar perlu diteruskan


BR1M 3.0
 
 
SHAH ALAM - Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) boleh dimansuhkan namun kerajaan perlu mengawal harga barang dan menaikkan gaji minimum bagi mengurangkan beban rakyat terutamanya golongan B40.

Pakar Ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berkata, sekiranya dua perkata itu diberi perhatian, ia boleh mengurangkan kebergantungan kepada bantuan kerajaan semata-mata.

Menurutnya, kerajaan perlu memastikan harga barang tidak lagi naik memandangkan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan dikuatkuasakan pada bulan depan dan ramai menjangka harga barang akan meningkat selepas ia dilaksanakan.

“Untuk golongan B40 selama ini kerajaan di bawah BN telah beri satu kadar (bantuan wang tunai) dan dijanjikan kadarnya akan dinaikkan untuk bantu tampung kos sara hidup, hadapi inflasi dan sebagainya.

“Jadi sekarang apakah langkah yang boleh dibuat untuk kurangkan kesusahan mereka? Saya fikir daripada bagi wang tunai sebegitu, menaikkan gaji minimum mungkin boleh jadi satu kaedah untuk membantu mereka.

“Lagi satu, harga barang. Harga barang mesti dikawal, kementerian terlibat kena jalankan tugas kerana apabila GST (cukai barangan dan perkhidmatan) disifarkan, harga masih di tahap sama apatah lagi jika SST pula diperkenalkan nanti,” katanya.

Ujarnya lagi, apabila berbincang isu SST, beliau bimbang terdapat peniaga mengambil kesempatan dengan menaikkan harga mendakwa SST adalah cukai baru meskipun ia hanyalah cukai yang diperkenalkan semula.

Jelasnya, banyak kajian di negara-negara lain menunjukkan cukai baru akan mewujudkan persepsi baru kepada rakyat dan secara tidak langsung menjadi faktor peniaga menaikkan harga barang.

“Dengan persepsi mengatakan SST adalah cukai baru, ia akan jadi masalah lain pula kepada kerajaan dan rakyat. Di negara mana-mana pun bila ada cukai baru nak diperkenalkan, harga akan naik buat sementara waktu.

“Bila ada pemantauan dan tindakan daripada pihak berkuasa, barulah akan ada penurunan dari semasa ke semasa disebabkan peniaga bimbang tindakan diambil kepada mereka.

“Cuma saya bimbang dengan persepsi cukai baru yang disampaikan kepada rakyat. Harapknya kerajaan akan melakukan pemantauan sebaiknya apabila SST mula dilaksanakan kelak,” ujarnya.

Tiada ulasan: