Jumaat, 31 Ogos 2018

Pengkarya: Henti bikin filem sejarah ‘bodek’ di era Malaysia baru

Nur Hasliza Mohd Salleh
 
Al-Jafree Md Yusop ialah penulis skrip filem ‘Paloh’, salah seorang penulis skrip filem ‘Dukun’, penulis skrip teater ‘P Ramlee The Musical’ dan pengarah telemovie ‘Melur vs Rajawali’. (Gambar Facebook)



PETALING JAYA: Seorang pengarah dunia perfileman negara berharap budaya “membodek” tidak lagi menjadi satu dorongan dalam menghasilkan karya berlatar belakangkan sejarah dalam era Malaysia baharu seperti yang sedia ada sebelum ini.

Pengarah filem, Al-Jafree Md Yusop berkata negara ini mempunyai banyak sejarah dan peristiwa penting yang perlu diangkat namun realitinya, masih tidak banyak filem yang menggambarkan keadaan sedemikian, atau dalam kata lain, bermasalah.

“Kita banyak filem naratif sejarah, tetapi kandungannya tidak ditayangkan dengan jelas dan jujur. Sebaliknya, budaya bodek pula yang diterapkan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu berlaku disebabkan beberapa cabaran yang dihadapi oleh pembikin filem.

Cabaran pertama, katanya, akibat risau dan takut dana tidak diluluskan atau sukar untuk membuat permohonan pada masa akan datang, kebanyakan pengarah filem tempatan mempraktikkan budaya ampu dalam penceritaan mereka.

Katanya, perkara ini berlaku dalam filem yang mengangkat tokoh perjuangan dan individu penting dalam sejarah di mana tiada sebarang cacat cela dan kekurangan ditayangkan. Seolah-olah tokoh itu seperti malaikat, tanpa sebarang kesalahan pernah dibuat.

“Apabila membikin sebuah filem sejarah yang meletakkan seseorang tokoh sebagai watak utama, bukan bermaksud untuk mengagungkan tetapi ia haruslah bermotifkan sudut kemanusiaan.

“Apabila karya itu mengagungkan, maka tiada cacat cela seseorang itu disentuh. Dan apabila ianya berlaku, karya itu tidak lagi bersifat kemanusiaan tetapi satu proses membodek peribadi tokoh.”

Filem luar negara sangat berbeza

Menurut Jafree, karya sejarah perlu memaparkan kisah bersifat kemanusiaan di dalamnya, bukan hanya memfokuskan kesempurnaan seseorang tokoh.

“Atas sebab itu, karya sejarah tempatan sangat berbeza dengan karya yang dihasilkan di negara luar terutamanya Indonesia dan Amerika Syarikat (AS).

“Saya ambil contoh filem Lincoln arahan Steven Spielberg yang mengangkat nilai kemanusiaan dalam tokoh tersebut. Ianya jelas apabila babak Lincoln mengharungi konflik dengan isterinya.

“Disebalik penghormatan yang diterima Lincoln daripada rakyat, tanpa kita ketahui, beliau menghadapi depresi yang dahsyat ekoran konflik dengan isterinya itu.

“Filem itu berjaya membawa watak Lincoln bukan sahaja seorang pemimpin yang disegani tetapi juga seorang lelaki biasa yang tidak mampu mengawal emosi sehingga terpalit dengan depresi,” katanya.

Jafree mengakui, tidak mudah untuk mendapatkan sumber dan fakta untuk membikin filem sejarah, bahkan kadang-kala ia juga perlu dijejaki hingga ke luar negara.

Antaranya, sumber untuk mendapatkan fakta sejarah, kaedah untuk mensahihkannya dan kos yang diperlukan untuk menerbitkan sesebuah filem tersebut.

“Kalau nak cakap susah sangat pun tidak, kerana banyak pihak boleh dijadikan sumber sebagai pencetus idea yang boleh diletakkan di dalam filem, tetapi kebanyakan sumber lain berada di luar negara. Contohnya bahan rujukan di England.”

Lebih mencabar, apabila seseorang pembikin filem perlu mengembara ke luar negara untuk mendapatkan fakta dan kesahihan sesuatu maklumat, faktor kos pula akan bangkit.

“Kebanyakan pembikin pula, apabila susah mendapatkan dana, mereka selalunya akan mengambil jalan mudah, iaitu mendapatkan dana dengan Perbadanan kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Tetapi, demi memastikan dana yang berterusan dapat disalurkan, pembikin filem terus mengamalkan ampu dan bodek menerusi karya-karya mereka.”

Filem sejarah dan dokumentari

Bagaimanapun, Jafree berkata masih terdapat beberapa karya latar belakang sejarah negara ini yang boleh dijadikan contoh untuk pengkarya akan datang.

“Saya sangat suka dengan pembawakan kisah Rosly Dhobi terbitan Astro Shaw, Tuan Brown oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan filem klasik Tun Perak.

“Kisah-kisah ini boleh dijadikan rujukan utama bagi mana-mana pihak yang ingin menerbitkan filem atau karya berlatar belakangkan sejarah tempatan” katanya.

Apabila ditanya apakah cara terbaik untuk menyelesaikan isu “membodek” itu, Jafree mencadangkan agar semua pengkarya filem mencari pendekatan berbeza dalam proses penceritaan berlatar belakangkan sejarah.

Katanya, seseorang pembikin pada permulaannya perlu memahami terdapat perbezaan antara filem sejarah dan dokumentari. Kedua-duanya mempunyai perbezaan tetapi tidak sampai ke tahap meminggirkan fakta dan kesahihan sejarahnya.

“Dokumentari bersifat lebih jelas bersandarkan fakta-fakta sejarah. Berbeza dengan filem atau drama, kadang-kala ianya adaptasi kisah benar terutamanya tokoh-tokoh yang diangkat dalam sejarah sama ada tempatan mahupun luar negara.

“Sudah tiba masanya, pengkarya negara ini menggunakan pendekatan yang unik dalam filem sejarah tanpa meminggirkan fakta sejarah yang tepat dan unsur tokok tambah.”

Tiada ulasan: