Ong Kian Ming berkata rakyat Malaysia perlu ingatkan kerajaan PH tentang manifesto yang dibuat.
Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, yang juga merupakan ahli jawatankuasa manifesto PH berkata, walaupun dokumen itu tidak mengikat dari segi undang-undang, namun ia penting dari segi politik bagi memastikan kejayaan agenda pembaharuan.
“Sila ingatkan kami tentang janji manifesto. Jika kami gagal menunaikannya, catatkan tanda hitam dalam tempoh 5 tahun ini,” kata timbalan ketua Biro Pendidikan Politik DAP itu dalam satu forum dengan tema pembaharuan institusi selepas 100 hari PH menguasai kerajaan pusat.
Sebelum itu dalam forum sama, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, manifesto itu telah “diangkat” sebagai sebuah “kitab suci” dan menambah kerajaan berhadapan cabaran besar untuk melaksanakan pembaharuan selepas 60 tahun penguasaan Barisan Nasional (BN).
“Manifesto itu adalah manifesto politik yang tidak ada kepentingan undang-undang,” kata Tommy sekali gus mempersoalkan obsesi banyak pihak terhadapnya.
“Dalam masa 5 tahun, anda putuskan sama ada mereka layak mendapat undi, tetapi sekarang ini masih terlalu awal,” katanya.
Seorang lagi panelis forum, naib ketua Pemuda Umno Malaysia, Shahril Hamdan berkata, walaupun beliau bersetuju pembaharuan mengambil masa, namun janji PH perlu dituntut.
“Betul mereka ada mandat 5 tahun dan sesetengah pembaharuan akan mengambil masa, tetapi kita juga perlu berhati-hati untuk tidak memberi terlalu banyak ruang kepada kerajaan,” kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan