Jumaat, 3 Ogos 2018

PARLIMEN HALANG KES PENDAKWAAN NAJIB DIBAHAS




Dewan Rakyat hari ini melarang kes jenayah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kini dalam proses undang-undang dibahas di Parlimen.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, berkata keputusan itu dibuat sebagai menghormati keputusan mahkamah yang memberikan ‘interim gag order’ bagi menghalang perkara itu dibicarakan di luar mahkamah.

Keputusan itu juga katanya adalah selaras dengan konsep pengasingan kuasa.

Bagaimanapun Speaker Dewan Rakyat membenarkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan skandal RM2.6 bilion yang disekat sebelum ini boleh dibahas di Dewan Rakyat.

“Saya telah teliti dan putuskan ia terlibat dengan kes jenayah di mahkamah Malaysia, oleh demikian tidak dibenarkan dibincang, dibahas dan disebuat di Dewan sebagaimana sekatan gag order tersebut.

Ini bertujuan untuk menghormati bidang kuasa mahkamah dan prinsip pemisahan kuasa,” katanya di Parlime, pada Khamis.

Beliau membuat keputusan itu selepas Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said memohon ruling speaker Dewan Rakyat pada 25 Julai, sama ada larangan membincangkan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan RM2.6 Bilion yang dibuat oleh mantan Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia masih berkuasa.

Ismail juga meminta Speaker memutuskan sama ada interim gag order yang telah diperolehi oleh peguambela Najib yang menghalang mana-mana pihak menimbulkan isu tersebut terpakai di Dewan Rakyat.

Terdahulu, Mohamad Ariff dalam ruling atau petuanya menarik balik perintah larangan dua tahun lalu yang menghalang ahli parlimen daripada membincangkan isu berkaitan 1MDB dan derma sebanyak RM2.6 bilion ke dalam akaun peribadi Najib kerana belum ada kes mengenainya dibicarakan di mahkamah di negara ini..

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa dengan tiga tuduhan pecah amanah jenayah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan wang berjumlah RM42 juta.

Bagi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, Najib selaku penjawat awam iaitu Menteri Kewangan dan Perdana Menteri  dan penasihat SRC International Sdn Bhd, dalam kapasiti itu diamanahkan dengan penguasaan ke atas wang milik SRC berjumlah RM4 bilion, melakukan pecah amanah jenayah berjumlah RM42 juta.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Bangunan Ambank Group Jalan Raja Chulan, antara 24 dan 29 Disember 2014.

Namun, peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib mempersoalkan kesediaan pasukan pendakwaan dalam membawa prosiding kes melibatkan anak guamnya itu.

Beliau menyifatkan pasukan pendakwaan yang diwakili Peguam Negara Tommy Thomas mungkin masih mencari bukti berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadi Anggota Parlimen Pekan itu dari bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd.


Tiada ulasan: