Naib Presiden PKR, Tian Chua membidas tindakan Rafizi Ramli yang seolah-olah mahu mewujudkan kem dalam pemilihan PKR pada September ini.
Beliau berkata Rafizi perlu menolak budaya politik buruk supaya parti kekal dengan prinsip reformasi yang diperjuangkan selama ini.
“Saya tidak setuju dengan cara Rafizi menguruskan dirinya. Ahli PKR dibenarkan untuk bertanding jika mereka mahu, dan mereka pasti mempunyai prerogatif untuk memilih siapa yang mereka mahu.
“Itu tiada masalah. Tetapi jangan mula mengatakan ‘ini pasukan saya’ dan ‘hanya sokong pasukan saya’ kerana anda adalah reformis sebenar dan selebihnya semuanya korup. Bagaimana anda boleh mengatakan ini?” katanya seperti lapor media pada Jumaat.
Rafizi yang juga merupakan naib presiden PKR mengumumkan pencalonannya sebagai timbalan presiden pada minggu lalu.
Rafizi sebelum ini mengesahkan beliau menampilkan lapan regu yang terdiri daripada Nurul Izzah Anwar, Datuk Johari Abdul, William Leong, S. Kesavan, Fuziah Salleh, Rodziah Ismail, Akmal Nasir dan Raymond Ahuar.
Mengulas lanjut, Tian Chua berkata pemilihan PKR perlu berlandaskan semangat kekeluargaan kerana ia berbeza dengan pilihan raya di mana semua calon mempunyai ideologi berbeza.
“Kita semua ahli keluarga. Jangan masuk dan kata ‘ini pasukan saya’. Setuju sahaja untuk terima pemimpin lain jika ada konsensus untuk itu, tetapi jangan lakukan seperti ini,” katanya, merujuk kepada Rafizi.
Pemilihan PKR yang diadakan setiap tiga tahun itu dijadualkan berlangsung dari September hingga Oktober ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan