Rabu, 15 Ogos 2018

Najib bidas Tony Pua selepas PH tangguh mansuh tol

 
Bekas perdana menteri menggesa PH menugas Tony Pua dalam usaha menghapuskan semua tol jalan raya.





PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak membidas pegawai khas kepada menteri kewangan, Tony Pua, selepas Pakatan Harapan mengumumkan janji memansuhkan tol tidak dapat dipenuhi ketika ini kerana kerajaan tidak cukup wang untuk membayar pampasan kepada konsesi.

Bekas perdana menteri menyorot perhatian kepada kos yang diperlukan untuk menghapuskan tol seperti yang diumumkan menteri semalam, iaitu lebih RM400 bilion, berbanding kiraan DAP sebelum ini, RM25 bilion.

“Kerajaan PH seharusnya menugaskan Tony Pua dalam usaha menghapuskan semua tol jalan raya bagi menepati antara janji utama manifesto PRU14 mereka.

“Saya percaya Tony Pua dan DAP bukan penipu dan pengiraan mereka yang jauh lebih murah adalah tepat – bukan hanya dibuat untuk menipu undi rakyat dan tidak mungkin DAP selalu salah titik perpuluhan.

“Apatah lagi, syarikat konsesi-konsesi tol berkenaan bukan kroni mahupun rakan-rakan saya tetapi mereka adalah dari era seorang perdana menteri sebelum saya,” katanya.

Menteri Kerja Raya Baru Bian di Dewan Rakyat semalam mengumumkan langkah menghapuskan tol ditangguhkan sehingga keadaan kewangan negara mengizinkan.

Beliau juga mengingatkan penghapusan tol itu tidak termasuk dalam janji 100 hari kerajaan Pakatan Harapan.

Najib hari ini berkata kerajaan sejak 2008 lagi memberitahu langkah menghapuskan semua konsesi tol jalan raya memerlukan kos RM231 bilion.

“Tetapi, pada masa itu Tony Pua menuduh kita sebagai penipu,” katanya.

“Semalam, menteri memberitahu Parlimen kos untuk berbuat demikian jauh lebih tinggi dari apa yang telah kerajaan BN umumkan dahulu.”

Najib menambah pentadbirannya berusaha untuk menghapuskan banyak tol di seluruh negara dan pada tempoh tersebut, tidak ada tol lebuh raya milik syarikat kerajaan menaikkan kadar tol.

“Tetapi kerajaan menghadapi kesukaran untuk tidak membenarkan tol milik swasta menaikkan kadar tol kerana terikat dengan perjanjian konsesi yang dirunding dan dimeterai semasa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri ke-4.”

Najib juga memaklumkan semua perjanjian konsesi tol jalan raya boleh disemak orang ramai kerana beliau sudah menukar status kerahsiaan dokumen berkenaan pada Oktober 2008.

Tiada ulasan: