Isnin, 13 Ogos 2018

Mujahid diingat berhati-hati bawa fahaman asing ke negara ini

ainulillia

Fahaman asing bercanggah pegangan moral tak sesuai diterap di Malaysia


BANGI – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa perlu berhati-hati dalam membawa fahaman asing seperti isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) yang tidak sesuai dengan akidah dan pegangan moral rakyat negara ini.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, Mujahid perlu mempelajari dan memahami dahulu sesuatu isu dengan baik mengikut sudut pandang Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

“Mujahid perlu memahami pegangan akidah rakyat majoriti di Malaysia ini.

“Bukan senang-senang bercakap mengenai golongan LGBT, tanpa merujuk kepada dalil dan nas, serta panduan yang dinyatakan dalam Islam.

“Saya harap kenyataan terbaharu beliau hari ini adalah satu pembetulan yang datang daripada hati yang insaf,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mujahid dalam satu kenyataan hari ini, mengakui berlaku kekhilafan dan menarik semula apa yang diperkatakannya pada sidang media selepas bersemuka dengan seorang transgender, Nisha Ayub, Jumaat lalu dan menegaskan tidak mengiktiraf golongan songsang itu.

Pada masa sama, beliau turut memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam berikutan kekeliruan yang berlaku, terutama mengenai ‘kebenaran’ transgender menggunakan tandas wanita.

Beliau juga menggesa komuniti transgender supaya berhenti menuntut hak yang menyanggahi nilai norma, budaya, agama, dan undang-undang yang dianuti bangsa Malaysia.


Tiada ulasan: