Isnin, 13 Ogos 2018

Guan Eng tak ke China untuk elak senator sabotaj SST

 
Menteri kewangan berkata dia perlu berada di Malaysia bagi memastikan senator pembangkang tidak menolak RUU berkaitan SST.
 
 
 



KUALA LUMPUR: Lim Guan Eng hari ini menafikan dia disekat ke China kerana dia seorang “bermasalah”, sebaliknya perlu berada di Malaysia bagi memastikan para senator tidak mensabotaj rang undang-undang (RUU) Cukai Jualan dan RUU Cukai Perkhidmatan.

Menteri kewangan menjawab Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) yang bertanyakan adakah benar dakwaan China tidak mahu Lim menyertai rombongan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara komunis itu minggu depan.

“Saya terpaksa berada di senat bagi memastikan rang undang-undang dibentangkan kerajaan baru, khususnya penggantian GST dengan SST, dapat diluluskan,” katanya.

“Kecualilah pembangkang boleh memastikan mandat rakyat kepada PH dihormati dan tidak akan sabotaj dasar ekonomi kerajaan dengan menolak RUU SST di peringkat senat,” katanya.

Lim juga menafikan dia mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerbu syarikat China, yang dikatakan sebab Beijing tersinggung dengannya.

“SPRM bawah Malaysia Baharu bebas menyiasat apa-apa kes termasuk melancarkan serbuan,” katanya.

Serbuan SPRM pada Julai lepas dikatakan berkaitan dengan projek Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP) dan Saluran Paip Gas Trans-Sabah (TSGP).

Dr Mahathir dijadualkan melawat China pada Ogos melawat China dari 17-21 Ogos. Dia dilaporkan akan bertemu Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang dan melawat pejabat Zhejiang Geely Holding Group dan Alibaba Group di Hangzhou.

“Saya tidak faham kenapa Ketereh bangkitkan saya mahu kenakan kontraktor syarikat China. Saya tidak tahu ia datang dari mana kecuali imaginasi yang agar subur dari Ketereh,” kata Lim.

Tiada ulasan: