Sabtu, 4 Ogos 2018

Kahwin bawah umur: Haramkan, tiada 'jika' atau 'tapi'!


Kahwin bawah umur: Haramkan, tiada 'jika' atau 'tapi'!
Datuk Marina Mahathir.
 
 
SHAH ALAM - Kahwin bawah umur yang kini menjadi isu hangat diperbincangkan banyak pihak sehingga ke Parlimen mengundang reaksi ‘kurang senang’ aktivis sosial, Datuk Marina Mahathir.

Memetik laporan portal Malaysiakini, Marina menegaskan kerajaan perlu mengenakan larangan menyeluruh terhadap perkahwinan kanak-kanak.

Menurutnya, sukar untuknya percaya bahawa perkara itu masih dibincangkan, walaupun isu itu kembali menarik perhatian ramai.

“Haramkannya, titik. Tiada 'jika' dan 'tapi', tiada syarat. Apa yang membuatkan saya kecewa adalah semua orang bercakap tentang peraturan, kawalan, prosedur, undang-undang.

"Tiada yang bercakap tentang kebajikan kanak-kanak (yang terlibat) sedangkan itulah sepatutnya yang menjadi fokus kita," katanya.

Terdahulu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius kes perkahwinan bawah umur melibatkan budak perempuan berumur 11 tahun di Kelantan yang dikahwini oleh seorang lelaki berusia 41 tahun sebagai isteri ketiganya.

Kementerian itu dalam kenyataan 30 Jul lalu menyatakan siasatan awal mendapati pendaftaran perkahwinan itu merupakan perkahwinan yang dimohon oleh pasangan dan anggota keluarga tanpa unsur paksaan dan dibuat secara sukarela.

Lelaki itu didenda RM1,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Gua Musang bagi dua pertuduhan iaitu berkahwin dan berpoligami tanpa kebenaran.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perkahwinan bawah umur kes serius]
[ARTIKEL BERKAITAN: ‘Saya ikat sahaja, sudah rujuk yang lebih arif’]

Pada masa ini, kanak-kanak perempuan bawah 16 tahun dan lelaki bawah 18 tahun dibenarkan berkahwin jika mendapat kebenaran mahkamah syariah.

Bagi bukan Islam pula, golongan itu perlu mendapatkan kebenaran khas ketua menteri atau menteri besar negeri berkaitan.

Dalam Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002, Seksyen 8 berkaitan umur minimum untuk perkahwinan menyebut, tiada perkahwinan boleh diakad nikah di bawah enakmen berkenaan jika lelaki itu berumur kurang daripada lapan belas tahun atau perempuan berumur kurang daripada enam belas tahun kecuali jika hakim syarie telah memberi kebenaran secara bertulis dalam keadaan tertentu.

Pada April 2016 lalu, Menteri KPWKM yang ketika itu Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkongsikan sebanyak 827 permohonan perkahwinan di bawah umur 16 tahun bagi masyarakat Islam direkodkan tahun sebelumnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 1,121 permohonan kahwin bawah umur tahun lalu]

Isu perkahwinan bawah umur di usia 16 tahun ini menarik banyak reaksi antaranya ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang tidak bersetuju.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan kepentingan untuk semua pihak meneliti semula Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Kelantan yang membenarkan perkahwinan bawah umur.

Memetik laporan Malaysiakini, Ibrahim berkata, langkah berkenaan yang membenarkan perkahwinan bawah umur iaitu seawal usia 16 tahun perlu diterima serta dipersetujui namun dengan syarat-syarat dan kes tertentu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kahwin bawah umur: Setuju bersyarat, kes tertentu]

Tiada ulasan: