Isnin, 13 Ogos 2018

Sianida di lombong emas: Kerajaan akan jumpa penduduk Bukit Koman

 
Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berkata terdapat salah faham dalam kenyataan yang dikeluarkan Xavier Jayakumar minggu lalu berhubung perkara itu.


Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata kerajaan sedia melakukan pengujian sekali lagi di Bukit Koman. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memanggil dan berbincang dengan penduduk Bukit Koman bagi menyelesai dan menjelaskan isu penggunaan sianida dalam kegiatan perlombongan emas di kawasan itu yang dibangkitkan baru-baru ini.

Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata terdapat salah faham yang berlaku dalam kenyataan yang dikeluarkan Menterinya, Xavier Jayakumar minggu lalu berhubung perkara itu.

“Sebenarnya apa yang diberitahu dan dijawab oleh menteri adalah berdasarkan kepada standard antarabangsa penggunaan sianida dalam perlombongan emas di Malaysia mahupun luar negara.

“Ia kembali hangat bila YB Lipis tanya adakah sianida ini berbahaya dan menyebabkan penyakit kulit yang berlaku di Bukit Koman.

“Jadi apa yang menteri jawab ketika itu secara umum, maksudnya ia berdasarkan pada kenyataan yang dibolehkan untuk ‘world standard’ 0.2 ppm, maknanya tanpa mudarat.

“Sebenarnya tiada kaitan dengan apa yang berlaku di Bukit Koman,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ahli parlimen Raub itu menambah, disebabkan perkara itu diviralkan dan dimanipulasikan oleh orang tertentu, beliau akan menjemput kumpulan hijau atau sianida esok atau lusa untuk mereka datang jumpa dengan menteri untuk nyatakan apa yang mereka tidak puas hati.

“Kalau perlu kita akan lakukan sekali lagi pengujian di kawasan Bukit Koman itu sendiri,” katanya.

Lombong emas itu menjadi punca pertikaian dalam kalangan penduduk Kampung Baru Bukit Koman sejak syarikat Raub Australia Gold Mining Sdn Bhd (RAGM) memulakan operasi pada 2007.

Penduduk di situ mendakwa penggunaan bahan tersebut menjejaskan kesihatan mereka seperti berlakunya masalah kulit, mata dan kesukaran bernafas.

Xavier ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Lipis Abdul Rahman Mohamad di Dewan Rakyat minggu lalu berkata, tiada bukti saintifik yang menunjukkan penggunaan sianida dalam kegiatan perlombongan di Bukit Koman itu.

“Terdapat peraturan yang ketat. Sianida disimpan di dalam kolam. Ianya mahal dan digunakan semula oleh pelombong. Terdapat juga penguatkuasaan yang ketat,” katanya.

Tiada ulasan: