KUALA LUMPUR: Pemimpin Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos memfailkan
saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, yang
didakwa menipu ekoran mengatakan pemimpin Umno itu memohon maaf di depan
hakim Mahkamah Tinggi, Selasa lalu.
Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu berkata, beliau hanya menarik
balik kenyataannya mendakwa hidungnya berdarah disebabkan penyokong
ketua Wanita PKR itu, tetapi tidak memohon maaf di mahkamah.
Zuraida menyaman Jamal berhubung kekecohan di Pusat Beli-Belah Ampang Point pada 13 November 2016.
Melalui proses mediasi hampir 4 jam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
kelmarin, kedua-dua pihak menyelesaikan kes itu selepas Jamal menarik
balik kenyataan ditujukan kepada Zuraida.
Peguam, V Mugunthan yang mewakili Jamal berkata, ketika proses mediasi
di depan Hakim S Nantha Balan, pasukan peguam pemimpin Umno itu
memaklumkan Jamal tidak akan memohon maaf kepada Zuraida.
“Pendiriannya disampaikan kepada peguam Zuraida, Latheefa Koya serta N Surendran dan mereka bersetuju dengan kebenaran Zuraida.
“Tafsiran kenyataan itu jelas tidak termasuk frasa ‘meminta’ atau
‘memohon maaf’,” kata Mugunthan kepada wartawan di Mahkamah Tinggi Kuala
Lumpur hari ini.
Semalam, sehari selepas menyelesaikan saman fitnahnya ke atas Jamal,
Zuraida menasihatkan lelaki itu bersikap lebih siuman dan tidak membuli
pihak lain sesuka hati.
Beliau berkata, teguran sama dibuat sewaktu perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Pada 13 November 2016, Jamal dan penyokongnya mengekori Zuraida serta
penyokongnya ke Pusat Beli-belah Ampang Point dalam sebuah program
menjelang perhimpunan Bersih 5 oleh parti pembangkang.
Kekecohan tercetus apabila polis cuba menghalang Jamal dan penyokongnya mengekori Zuraida.
Hidung Jamal kemudiannya berdarah dan beliau mendakwa dipukul penyokong
Zuraida, walaupun rakaman video itu jelas menunjukkan beliau cedera
akibat bergelut dengan polis.
Dalam saman fitnah yang difailkan 17 November lalu, Zuraida menuntut
ganti rugi am selain injunksi menghalang Jamal membuat komen menghina
lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan