KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah
mengeluarkan notis pemberhentian kerja ke atas aktiviti pembinaan di
sebuah tapak pembinaan di Kampung Baru, susulan kejadian sebuah kren
tumbang di sini Khamis.
Ketua Pengarahnya Datuk Mohtar Musri berkata tindakan perundangan akan
diambil ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat
pelanggaran peraturan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
1994 serta Akta Kilang dan Jentera 1967.
Katanya jika didapati bersalah, pihak yang bertanggungjawab boleh
dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara atau
kedua-duanya sekali.
“Ketika kejadian, seorang pekerja sedang mengendalikan kren menara bagi
mengangkat bebanan, secara tiba-tiba 'luffing boom' kren menara itu
tumbang dan menghempap sebuah kenderaan di luar tapak pembinaan.
Kejadian ini menyebabkan kecederaan ringan kepada seorang pekerja dan
dua orang awam selain kerosakan kepada kenderaan yang diparkir
berhampiran lokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan di sini Khamis.
Beliau berkata JKKP memandang serius setiap kemalangan yang berlaku terutamanya yang melibatkan pekerja mahupun orang awam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1 tengah hari Khamis, tiga orang cedera ringan dan dua kenderaan terjejas. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan