Khamis, 9 November 2017

Kerajaan jamin tiada pemberhentian pekerja Proton

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan tidak ada pemberhentian pekerja Proton Holdings Bhd meskipun selepas ia menjual hampir separuh dari sahamnya kepada Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely).
 
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Ahmad Maslan ketika berbahas di Dewan Rakyat, hari ini.
 
Bukan itu sahaja Ahmad berkata Geely juga akan mengekalkan 230 pembekal Proton yang kini mempunyai hampir 50,000 pekerja.
 
"Dari segi pekerja, seramai 9,600 orang yang ada sekarang tidak ada yang dibuang. Ini merupakan perkara penting yang menjadi sebahagian intipati perjanjian kita," katanya.
 
Sebelum ini Proton didakwa akan memberhentikan sebahagian besar pekerjanya selepas syarikat pembuat kereta nasional itu memuktamadkan proses untuk mendapatkan rakan strategik asing.
 
Untuk rekod pada 23 Jun lalu Proton dan Geely menandatangani perjanjian muktamad, yang melihat kepada usaha Malaysia memasuki pasaran automotif ASEAN termasuk China yang lebih besar.
 
Hasil perjanjian itu menyaksikan Geely mengambil alih 49.9% ekuiti Proton dan 51% saham dalam Lotus Group daripada DRB-Hicom.
 
Kerajaan sebelum ini menegaskan pengambil alihan itu sebagai langkah mengelakkan Proton menerima nasib yang sama seperti Perwaja Steel kerana gagal bersaing dalam industri automobil.
 
Ahmad dalam pada itu memaklumkan Proton mempunyai perancangan meluaskan pengambilan pekerjanya sehingga 20,000 dalam masa 10 tahun.
 
Ahmad berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mengenai perkembangan terkini Proton selepas pengambilalihan saham itu.
 
Sementara itu Ahmad memberitahu pelantikan Dr. Li Chunrong sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Proton yang baru boleh membantu mempercepatkan pelan pemulihan Proton yang akan melonjakkan industri automotif negara ke peringkat antarabangsa dalam tempoh lima tahun akan datang.
 
"Pelantikan Li Chunrong adalah keputusan bersama antara kedua-dua pemegang saham syarikat," kata Ahmad.
 
 

Tiada ulasan: