Jumaat, 10 November 2017

‘Banjir Pulau Pinang ialah bencana alam, tiada kaitan pembangunan’

 
Lim Guan Eng berkata, apa yang penting ketika ini adalah bagaimana memulihkan semula Pulau Pinang selepas berdepan banjir terburuk dalam sejarah.


guan-eng-banjir


GEORGE TOWN: Musibah banjir di Pulau Pinang tiada kaitan dengan projek pembangunan di negeri ini, sebaliknya ia adalah bencana alam, kata Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

“Ini adalah bencana alam, tiada kaitan dengan isu-isu yang dibangkitkan. Kami sudah pasti mengalu-alukan pandangan mereka yang prihatin mengenai isu ini. Kami bersedia untuk mendengar. Mari kita beri tumpuan kepada bencana alam semula jadi di sini,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk kerajaan DAP Pulau Pinang membatalkan pembangunan berisiko di lereng bukit bagi mengelakkan banjir dan tanah runtuh berlaku.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika melawat pusat pemindahan sementara di Pulau Pinang Selasa lepas, mengingatkan kerajaan negeri membuat penelitian dalam meluluskan projek pembangunan bagi mengelakkan kejadian buruk akibat bencana alam.

Selain itu, Najib berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira desakan NGO itu jika ia memberi kebaikan kepada semua pihak.

Ketika diminta mengulas kenyataan perdana menteri itu, Lim berkata: “Itu pendapat beliau.”
Lim berkata, apa yang penting ketika ini adalah bagaimana memulihkan semula negeri ini selepas berdepan banjir terburuk dalam sejarah.

Beliau berkata, kerajaan negeri sangat memerlukan sokongan kerajaan persekutuan dan pihaknya masih menunggu berita baik daripada perdana menteri berhubung peruntukan untuk projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini.

Sementara itu, Lim menyeru semua sukarelawan turun padang membantu mangsa banjir di negeri ini bagi kerja pembersihan pascabanjir yang akan diadakan di bahagian pulau dan Seberang Perai esok serta Ahad ini.

Beliau meminta sukarelawan berkumpul di Balai Rakyat Jalan Patani, pada 8 pagi dan Depoh Majlis Perbandaran Seberang Perai, Jalan Padang Lalang di Bukit Mertajam pada 7 pagi.

Terdahulu, Lim turut melancarkan laman sesawang Pulau Pinang Bangkit www.penangbangkit.com dan hotline yang akan menyalurkan maklumat berhubung banjir di negeri ini dan pergerakan kerja pembersihan pascabanjir.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan ditenggelami air 0.2m hingga 1m, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini meragut 7 nyawa.

Tiada ulasan: