JOHOR BAHRU: Seramai 23 mangsa daripada enam keluarga dari Kampung Laut
Batu 10, dekat sini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS),
selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat, petang semalam.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan
Penerangan Johor, Datuk Ayub Rahmat, berkata PPS berkenaan dibuka di
Sekolah Kebangsaan Batu 10, dekat sini, jam 9 malam tadi.
Katanya, mangsa yang dipindahkan itu membabitkan tujuh lelaki dewasa, enam wanita dewasa, lapan kanak-kanak dan dua bayi.
"Bagaimanapun, sebuah pusat pemindahan di Dewan Serbaguna Blok 18,
Kampung Paya Kenangan, Kangkar Tebrau di sini, yang dibuka bagi
menempatkan tujuh mangsa banjir sudah ditutup pada jam 9.40 malam tadi,"
katanya dipetik BH Online.
Terdahulu, hujan lebat lebih sejam sejak jam bermula 3.30 petang
semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar bandar raya ini termasuk
empat perkampungan mengalami banjir kilat.
Antara kawasan terjejas membabitkan Kampung Maju Jaya, Kampung Laut
Skudai, Jalan Skudai (berhampiran Skudai Parade), Kampung Paya Kenangan
dan Kampung Kangkar Tebrau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan