Isnin, 13 November 2017

Amanah Kelantan ada pejabat sendiri, bukan di Wisma Tok Guru

ANTARAPOS

Post Pic


KOTA BHARU: Amanah Kelantan mempunyai pejabatnya sendiri dan tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap Wisma Tok Guru di Salor, Kota Bharu.

Pengerusinya, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah berkata pertelingkahan hak milik bangunan tersebut hanya membabitkan ADUN Salor, Datuk Husam Musa dan PAS.

"Amanah Kelantan didaftarkan menggunakan alamat di rumah saya dan kita mempunyai pejabat sendiri.

"Wisma Tok Guru adalah pejabat Husam sebagai ADUN Salor yang diwarisi sejak zaman bekas ADUN Salor, allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim," pada sidang media di Wisma Tok Guru di Kota Bharu, hari ini.

Wan Abd Rahim berkata Amanah menumpang di wisma itu jika hanya ada program.

"Amanah Kelantan tidak mempunyai kepentingan dalam isu Wisma Tok Guru, kita hanya menumpang di sini untuk mempunyai program.

"Husam sudah memfailkan injunksi kes ini di Mahkamah Tinggi dan kita menunggu perbicaraan dan keputusan pihak mahkamah nanti macam mana," katanya.

Isu premis Wisma Tok Guru timbul selepas PAS mendakwa membeli tanah milik isteri kepada Ahmad Rosli, September lalu.

PAS kemudiannya menghantar notis sebulan supaya Amanah Kelantan mengosongkan bangunan tersebut selewat-lewatnya pada 16 November ini.

Malah, PAS Kelantan sebelum ini merancang untuk mengadakan himpunan dan solat hajat kesyukuran selepas berjaya membeli semula tanah tersebut dengan nilai RM700,000 melalui seorang anggotanya.

Sementara itu, Wan Abd Rahim berkata, pihaknya berharap keputusan daripada mahkamah akan diketahui sebelum 16 November ini.

"Semua pihak bukan sahaja kita, malah PAS juga perlu akur dengan sebarang keputusan mahkamah nanti," jelasnya yang enggan mengulas lanjut atas nasihat peguam.

Tiada ulasan: