Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: PKR masih memainkan peranan penting dalam struktur
kepimpinan Pakatan Harapan (PH) apabila Presidennya, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail diuar-uarkan bakal dilantik sebagai Presiden gagasan
tersebut.
Bagaimanapun menurut Pengarah Politik dan Dasar PKR, Datuk Kamaruddin
Jaafar, perkara itu masih dibincangkan di kalangan kepimpinan PH.
"Yang saya faham adalah Tun Mahathir dan Wan Azizah. Ini yang saya tahulah," katanya kepada Antarapos hari ini.
Kamaruddin bagaimanapun memberitahu maklumat yang diperolehinya itu
disampaikan daripada mereka yang terlibat di dalam Mesyuarat Majlis
Presiden Pakatan Harapan, Jumaat lepas.
Sebelum ini nama Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan
Sri Muhyiddin Yassin disebut bakal dilantik sebagai Presiden PH,
manakala Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad pula sebagai Pengerusi
PH.
Dalam pada itu Kamaruddin menyifatkan kemungkinan pelantikan Datuk Seri
Anwar Ibrahim sebagai Penasihat PH menyerlahkan lagi peranan Ketua
Umum PKR itu dalam gagasan pembangkang.
Terdahulu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam
reaksinya kepada Antarapos memberi tahu pelantikan Anwar itu mengambil
kira keberadaannya di dalam penjara buat masa ini.
"Itu satu jawatan yang besar. Kita boleh bersetuju dengan pandangan
Mukhriz. Dan itu pun cadangan dari awal lagi," ujar Kamaruddin.
Menurut cadangan asal sebagaimana laporan media, nama Anwar dan Dr
Mahathir akan digandingkan secara bersama sebagai Penasihat PH.
Namun atas beberapa sebab, cadangan itu diubah dan kini hanya nama Anwar sahaja disebut untuk mengisi jawatan itu.
Lebih lanjut, Kamaruddin menepis unsur dominasi sesetengah pemimpin PH
di dalam gagasan berkenaan jika mereka dilantik ke jawatan-jawatan
tertentu, dengan berkata setiap daripada mereka bertanggungjawab atas
peranan yang diberikan.
"Mereka semua tokoh-tokoh, tahulah bagaimana hendak mendominasi.
"Dari segi politik membuka ruang kepada tokoh-tokoh besar negara yang
bukan di dalam kerajaan atau BN memainkan peranan dalam tempat-tempat
yang dipersetujui bersama," jelas pemimpin PKR itu lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan